Sam Shaffik Juarai Mister Planet-Nation Malaysia 2019

Mister Planet-Nation Malaysia 2019 (MPM2019) yang telah berlangsung selama hampir empat bulan akhirnya tiba ke acara kemuncak bagi tahun ini di Auditorium Muzium Negara Malaysia. Majlis kemuncak itu telah dihadiri oleh lebih 200 penonton serta personaliti-personaliti terkenal tanah air seperti E1 Band, Harris Anuar dan ramai lagi.

Sejajar dengan misi MPM 2019 dalam mencari bakat baharu untuk menyinari dan menjadi pelapis industri hiburan Malaysia, pihak penganjur FASTYLE Entertainment telah membawa barisan juri berpengalaman dari industri hiburan bagi mengadili acara kemuncak itu. Antaranya Haji Zil (Zeel Production), Bustamam Mokhtar (White Studio), Chez Hamdan (Chez Hair Studio) dan Afdal Shahizad Zainudin (Astro Shaw).

Selain prestasi bagi tugasan-tugasan yang telah diberikan sepanjang empat bulan yang lalu, penilaian oleh juri-juri jemputan pada Grand Final MPM 2019 juga telah di ambil kira dalam menentukan pemenang gelaran Mister Planet-Nation Malaysia 2019. Pemarkahan oleh juri-juri pada hari tersebut dinilai melalui beberapa segmen seperti catwalk, persembahan perseorangan dan sesi soal jawab.

Seperti acara-acara kemuncak MPM sebelumnya, 5 gelaran istimewa telah dipertandingkan di samping 3 gelaran utama; Mister Planet-Nation Malaysia 2019, 1st Runner up dan 2nd Runner up. Gelaran-gelaran istimewa tersebut adalah Mister Photogenic, Mister Friendship, Mister Fitness, Mister Talented yang diadili oleh para juri jemputan dan akhir sekali, gelaran Mister Favorite yang diadili oleh para penyokong MPM 2019 melalui laman web rasmi penganjur, www.fastyleasia.com/fastyle-entertainment.

Sam Shaffik ,  remaja berusia 18 tahun telah dinobat sebagai Mister Planet-Nation Malaysia 2019 sekaligus membawa pulang hadiah bernilai hampir RM 5,000 yang berupa wang tunai, kontrak artis di bawah pengurusan Fastyle Entertainment selama setahun, peluang berlakon dibawah naungan Zeel Production, sash, trofi, custom made outfit tajaan Azhar Zainal, pakej fotografi eksklusif dari Blackpepper Production dan juga hamper tajaan Beloora Gold.

Manakala pemenang tempat kedua, Azri Rahim dan ketiga, Zeroq Mubin telah menerima hadiah bernilai lebih RM 2000 setiap seorang berupa wang tunai, peluang berlakon dibawah naungan Zeel Production, sash, custom made outfit tajaan Azhar Zainal dan juga hamper tajaan Beloora Gold.

Begitu juga para pemenang 5 gelaran istimewa – Sam Syaffik (Mister Favorite), Aidil Amin (Mister Fitness), Azri Rahim (Mister Friendship), Izwan Ali (Mister Talented) telah membawa pulang sash beserta pakej percutian tajaan Erya by Suria dan pakej fotografi ekslusif tajaan Blackpepper Production khas buat Mister Photogenic, Ezrul Rizwan.

Sam Shaffik sewaktu ditemui sejurus dia dinobatkan sebagai juara berkata, pada mulanya dia tidak berapa menggemari pertandingan ini kerana merasakan tidak kena dengan dirinya. Namun ibunya yang mencadangkan supaya dia menyertai pertandingan ini supaya dapat kembangkan lagi bakatnya dalam bidang nyanyian.

Sebenarnya sebelum ini saya seorang yang pemalu. Ibu saya mencadangkan supaya menyertai MPM2019 tetapi saya tolak pada mulanya. Namun ibu percaya bahawa MPM boleh mengembangkan impian saya dalam bidang muzik. Sewaktu mula menyertai pertandingan ini saya rasa ia bukan untuk saya. Saya tidak dapat bergaul dengan baik bersama peserta-peserta yang lain. Saya juga mahu pertandingan ini berakhir dengan cepat. Tapi Alhamdulillah, lagi lama saya dalam pertandingan ini, saya seperti tidak mahu ia berakhir“, jelas penuntut jurusan muzik di UiTM ini.

Tahniah SalamToday ucapkan kepada kesemua pemenang, semoga kemenangan ini akan membuka pintu yang lebih luas kepada kalian semua untuk mengembangkan bakat yang ada dalam diri masing-masing.