Sambal Belacan Burger di BurgerFest, MyTOWN KL

Berita baik untuk peminat burger. Pusat membeli-belah MyTOWN Kuala Lumpur akan menganjurkan BurgerFest yang mengumpulkan lebih daripada 20 burger kegemaran ramai di bawah satu acara besar-besaran, BurgerFest.

Festival yang bakal menawarkan 10,000 biji burger itu akan berlangsung selama dua hari bermula 27 Julai hingga 28 Julai 2019 dari jam 11 pagi ke 10 malam.

Antara jenama yang terlibat ialah myBurgerLab, Steam N Grill Burger, CockonCoal, Define:Burgers Bukit Jalil, The Burg, Mike’s Charbroiled Burgers, Mean Mince, Mustafa Jones BBQ, Aiden Picnic, Fuel Shack, The Tokyo Burger, Wayback Burgers Malaysia, dr Mak Rony Grilled Burger, Burger-Mbira, GB Vegetarian Burger, Sixty Bites, The Daily Grind, Pampas Steakhouse dan banyak lagi.

Selain memberi peluang pengunjung menikmati pelbagai jenis burger membuka selera, festival ini juga diadakan bertujuan untuk memberi kejutan kepada peminat makanan ini mencuba menu yang inovatif dan unik seperti Sambal Belacan Burger, Burger Buttermilk Malaysia, Burger Ox Tongue Bao dan Burger Caramelamb Kambing.

Bagi menambah keseronokkan hujung minggu, BurgerFest turut memberi peluang kepada pengunjung untuk menyaksikan Burger Championship di mana vendor-vendor yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini perlu memasak burger secara langsung bagi merebut tiga tahkta teratas.

Peserta perlu menghadapi cabaran kelajuan, ramuan istimewa, persembahan makanan dan ujian rasa sebelum dihakimi oleh barisan juri yang terdiri daripada MasterChef Malaysia, Dato’ Fazley Yaakob, Chef Selebriti AFC, Ili Sulaiman dan Pengacara The Halal Foodie, Papi Zak.

Penyanyi dan bintang sensasi aplikasi Smule, Andi Bernadee juga akan membuat menghiburkan pengunjung dengan menyampaikan dua single popularnya, ‘Donde’ dan ‘Satu Peluang’.

Untuk maklumat lanjut mengenai festival ini, anda boleh melawat laman Facebook rasmi MyTOWN KL.

Kredit Foto : MyTOWN KL