Sambal belacan kita

Makanan Hanita Hassan 04-Jul-2020
Sambal belacan kita © SalamWeb

Sambal belacan adalah makanan popular dalam kalangan masyarakat Melayu di Malaysia. Ia adalah makanan yang mesti ada sekiranya masakan kampung menjadi pilihan.  Ulam-ulaman segar seperti ulam raja, tenggek burung, timun atau daun pegaga adalah antara ulaman yang enak untuk dimakan bersama sambah belacan.

Sambal belacan adalah gabungan di antara cili hidup, bawang kecil, air limau dan belacan yang dibakar. Kesemua bahan ini ditumbuk lumat dan ditambah perasa dan sedia untuk dimakan bersama nasi panas.

Bagi anda yang gemarkan makanan yang lebih pedas, bolehlah ditambah cili padi ke dalam bahannya. Ia bukan sahaja menambah rasa tetapi juga meningkatkan kepedasannya.   Jika tidak ditambah belacan, tidak lengkaplah hidangan ini.  Rasa pedas daripada cili dapat dikurangkan dengan adanya belacan.

Sambal belacan dikatakan mempunyai  khasiat tersendiri.  Ia kaya dengan vitamin C dan baik untuk kesihatan kulit, gigi dan tulang.  Kepedasannya juga dapat membantu membakar kalori.  Ia juga boleh membersihkan sinus yang tersumbat dan mengurangi risiko kanser tertentu seperti kanser prostat. Selain meningkatkan selera makan.

Mungkin anda tidak pernah tahu proses pembuatan belacan.  Ia dibuat daripada udang geragau atau isi udang laut bersaiz kecil yang dimampatkan.  Belacan  dihasilkan sejak sebelum 1805 lagi. Ia tahan lama tetapi agak kuat baunya.  William Marsden turut memasukkan perkataan belacan dalam bukunya ‘A dictionary of the Malayan Language’ yang terbit tahun 1812.

Cara membuat belacan berbeza mengikut jenis udang dan teknologi pengeringan serta jenis alatan memproses yang digunakan. Di Melaka, pembuat mengaulkan bahan udang dengan garam halus sehingga rata. Kemudian menyusun atau meletakkan udang yang telah dicampur garam di atas lantai jemuran menggunakan nyiru atau tikar pandan yang sesuai.

Udang dijemur sehingga separuh kering. Kemudian dikisar sehingga separuh hancur dengan sedikit air. Ada yang menumbuk dalam lesung jika tiada mesin kisar (kaedah tradisional). Kemudian campuran tadi dimasukkan ke dalam kain dan diletak ke dalam bekas atau tong. Ia ditindih dengan pemberat untuk memampatkannya dan diperam selama satu minggu di tempat sesuai.

Selepas  seminggu, belacan dikeluarkan daripada bungkusan kain.  Sekiranya masih agak basah, belacan akan dijemur lagi. Kemudian campuran tadi dikisar sekali lagi sehingga mendapatkan ramuan yang lebih halus.  Proses ini diulang beberapa kali sehingga belacan elok, kering  dan boleh dibungkus. Saiz belacan bulat leper (diameter antara 20 – 50 cm dengan ketebalan 1.5 – 3.0 cm) atau saiz bongkah.

Justeru dalam kita memilih makanan, pilihlah yang halal dari yang haram. Apabila telah jelas yang halal dan haram, jalan terbaik bagi umat Islam ialah pilihlah yang halal, tinggalkan yang haram.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya halal itu nyata dan haram itu juga nyata, tetapi antara kedua-duanya ada perkara-perkara musytabihat (kesamaran) yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang…” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)