Sambal penambah selera

Suka Hanita Hassan 31-Okt-2020
dreamstime_s_23719349
Sambal belacan © Kai Siong Wong | Dreamstime.com

Makanan masyarakat di Malaysia banyak bergantung kepada hidangan tradisi turun temurun mengikut keluarga, kaum atau kenegerian.  Sekiranya anda bermastautin di Negeri Sembilan, pastinya makanan yang agak pedas menjadi kebiasaan dalam setiap hidangan.

Kebanyakan masakan Negeri Sembilan adalah berasaskan kepada cili padi.   Sebaliknya bagi mereka yang tinggal di Kelantan, semua hidangannya lebih manis dan tiada yang pedas walaupun pada hidangan sambalnya.  Begitu juga apabila anda di Pulau Pinang, lebih banyak hidangan berasaskan kari.

 Sambal pembuka selera, menjadi kesukaan ramai

Hidangan sambal adalah lauk pembuka selera yang menjadi kesukaan ramai. Ada pelbagai jenis sambal yang boleh disediakan di rumah bagi memikat hati suami dan anak-anak.  Jenis sambal yang paling popular ialah sambal belacan, sesuai sebagai hidangan kepada semua, khususnya orang Melaka dan Johor.

Sambal belacan tidak perlu dimasak. Hanya perlu dibakar belacan dan disatukan cili hidup, cili api dan bawang merah mengikut kuantiti yang diperlukan.  Kemudian ditumbuk atau kisar halus atau mengikut kesukaan anda bersama air perahan limau. Masukkan garam dan gula merah dan sedia untuk dimakan. Bila tiba musim mangga atau buah binjai, anda boleh campurkan dalam sambal belacan ini.  Rasanya lebih memikat serta menambah selera.

Jika suami dan anak-anak adalah penggemar sambal, anda boleh menyediakannya pada waktu hujung minggu sewaktu cuti dalam kuantiti yang banyak.  Tumis cili kering kisar bersama bawang kecil, bersama bawang besar dan bawang putih serta sedikit halia sehingga naik minyak. Kemudian masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa.  Apabila sambal  sejuk, masukkan dalam bekas bertutup.

Biasanya selepas waktu bekerja, anda berkejar-kejar pulang ke rumah dan perlu menyediakan makan malam. Dengan adanya sambal yang sudah siap ini, anda hanya perlu menggoreng ayam atau ikan dan curahkan sambal di atasnya.

Jika anda suka dari jenis makanan laut seperti udang atau sotong, anda boleh melakukan perkara yang sama.  Anda bukan sahaja menjimatkan masa tetapi juga dapat mengurus rumah tangga dengan lebih teratur.

Tahan lama, penambat hati

Untuk penggemar sambal goreng kering, caranya adalah  tumis cili dan bahan kisar sama sepertimana membuat sambal tumis.  Bezanya sambal goreng tidak perlu dimasukkan air asam jawa.  Lebih enak sambal goreng dicampur ikan bilis dan tempe.

Setelah sambal garing, masukkan ikan bilis dan tempe yang telah digoreng. Kaup balik dengan sambal sehingga sebati, masukkan garam dan gula dan sedia untuk dihidang.  Kacang yang telah digoreng juga boleh dimasukkan ke dalam sambal goreng.  Sedap untuk hidangan dengan nasi, roti dan biskut.

Bagi sambal goreng, ia boleh tahan lama sekurang-kurangnya hingga sebulan tanpa perlu pengawet atau sejuk beku.  Sekiranya anda mempunyai anak yang belajar atau bekerja di luar negara, anda boleh kirimkan sambal goreng kepada mereka.

Sekurang-kurangnya dapat juga mengubati kerinduan mereka kepada anda dan keluarga di Malaysia.  Begitu juga sekiranya anda terpaksa berpergian selama berminggu-minggu ke luar negara, anda boleh membawa bersama sambal goreng bagi menambah selera.

Itulah uniknya Malaysia, setiap warganya amat cinta dan adakalanya ketagih kepada sambal sebagai pelengkap hidangan tanpa mengira waktu. Hidangan sambal yang ringkas adalah penambat hati warga Malaysia.