Sambut Ramadan gaya Rasulullah

Ramadan dan amalan Nabi © Mohamed Ahmed Soliman | Dreamstime.com

Bulan Ramadan tahun ini pastinya antara bulan Ramadan yang bakal diingati oleh umat muslim seluruh dunia. Disebabkan ancaman virus COVID-19, hampir seluruh dunia sedang menjalani perintah berkurung. Di Malaysia pula, kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mungkin ada hikmah disebaliknya.

Semoga kita dapat menjalani ibadah puasa yang sebenar-benarnya pada tahun ini. Sementara masih di awal  Ramadan, apa kata kita cuba sambut Ramadan dengan beberapa amalan penting bagaimana Baginda Rasulullah SAW menghidupkan bulan Ramadan.

Memperbanyakkan bacaan Al-Quran

Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang membaca Al-Quran meskipun susah untuk menyebut ayatnya, maka dia mendapat dua pahala.“ (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Di samping memperbanyakkan bacaan Al-Quran, kita juga seharusnya cuba membaca secara tartil. Bacaan secara tartil ini bermaksud membaca dengan tertib dan mengikut hukum tajwid dengan betul.

Bagi ketua keluarga, ambil kesempatan untuk bertadarus bersama-sama ahli keluarga pada bulan Ramadan kali ini. Bacaan Al-Quran juga seharusnya diteruskan setiap hari setelah tamat bulan Ramadan.

Bersedekah

Ketika kita mampu untuk memilih juadah berbuka puasa dan bersahur, mungkin ada insan yang langsung tiada makanan. Perbanyakkan sedekah dan bantu insan-insan yang memerlukan. Sebaiknya, kita harus bantu kaum keluarga dan jiran tetangga kita terlebih dahulu.

Rasulullah SAW bersabda: “Jagalah diri kalian dari api neraka, meski hanya dengan bersedekah sepotong kurma.“ (HR Bukhari dan Muslim)

Zaman sekarang ini lebih mudah untuk kita bersedekah. Malah kerajaan kita juga turut memberi insentif pengecualian cukai bagi mereka yang bersedekah. Syaratnya, anda harus membuat sumbangan kepada badan-badan kebajikan yang diiktiraf oleh kerajaan.

Selain itu, sumbangan dan sedekah anda juga boleh dilakukan hanya secara dalam talian kepada pertubuhan dan badan-badan kebajikan yang anda pilih. Bukan jumlah sumbangan yang jadi ukuran, sebaliknya keikhlasan dan kejujuran anda untuk membantu.

Menghidupkan malam pada bulan Ramadan

Ruginya jika kita hanya bangun bersahur tanpa bersolat malam. Pelbagai amalan mudah dan ringkas boleh kita lakukan untuk menghidupkan malam di bulan Ramadan. Solat tahajud, berzikir dan membaca Al-Quran adalah antara  amalan ringkas yang boleh kita lakukan.

Dari Aisyah r.a.: “Rasulullah bersungguh-sungguh pada bulan Ramadan tidak seperti kesungguhan beliau pada bulan yang lain. Dan pada sepuluh malam terakhir, beliau lebih bersungguh-sungguh lagi berbanding hari-hari yang sebelumnya.” (HR Muslim)

Ambil peluang untuk berdoa dan memohon keampunan daripada Allah SWT di bulan yang mulia ini. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan Ramadan kerana iman dan mengharapkan keredaan-Nya, maka diampuni dosa-dosanya yang lalu. “ (HR Bukhari dan Muslim).

Semoga Ramadan kali ini menjadi Ramadan yang paling diingati dan bermakna buat kita semua.