Sambutan Aidiladha yang penuh keberkatan

Agama Hagnas 31-Jul-2020
Solat Aidiladha © Kairi Aun | Dreamstime.com

Aidiladha merupakan hari yang sangat istimewa dan penuh keberkatan.  Kita dilarang berpuasa pada Hari Raya sebagaimana dinyatakan di dalam hadis, dari Abu Ubayd r.a katanya: “Aku telah hadir merayakan Hari Raya bersama-sama dengan Saiyidina Umar bin al-Khattab r.a., lalu ia berkata:

“Hari Raya ini dan Hari Raya yang satu lagi, Rasulullah SAW telah melarang berpuasa padanya, iaitu Hari Raya Aidilfitri setelah kamu sempurnakan puasa kamu dan Hari Raya Aidiladha untuk kamu makan dari daging korban kamu.” (Sahih Bukhari dan Sahih Muslim)

Dalam hadis yang lain dinyatakan, selepas selesai berkorban, Rasulullah SAW menyembelih korban dan menyatakan bahawa korban itu adalah darinya dan dari orang-orang yang tidak mampu berkorban.

Jabir Ibn Abdullah r.a meriwayatkan : “Aku ada bersama Rasulullah SAW pada Hari Raya Aidiladha selepas solat sunat. Apabila Rasulullah selesai memberikan khutbah, baginda turun daripada mimbar dan seekor kambing dibawa kepada Baginda. Nabi memyembelihnya dan berkata: Korban ini daripadaku dan daripada rakyatku yang tidak mampu menyembelih haiwan korban.” (Sunan at-Tirmidzi)

Daripada hadis ini juga dapat kita ketahui bahawa selepas Rasulullah SAW mengetuai solat sunat Hari Raya, baginda menggalakkan masyarakat untuk mendermakan wang mereka ke jalan kebaikan.

Abu Sa’id al Khudri r.a menyatakan: “Rasulullah SAW pergi ke Musalla (tempat sembahyang) pada hari Aidilfitri dan Aidiladha. Perkara pertama yang Baginda lakukan ialah solat. Kemudian, Baginda berpaling menghadap orang ramai yang masih duduk di dalam saf mereka.

Lalu Baginda memberikan nasihat dan menyampaikan apa-apa arahan kepada mereka. Jika hendak menghantar pasukan pejuang atau menyampaikan apa-apa arahan, Baginda membuat keputusan dan mengarahkannya pada masa itu. Selepas itu, Baginda pun bersurai.” (Sahih Muslim)

Terdapat surah-surah yang Rasulullah SAW baca sewaktu mendirikan solat sunat Hari Raya. Di dalam hadis dinyatakan daripada al-Nu’man bin Basyir r.a, bahawa Nabi SAW bersabda: “Adapun Rasulullah SAW membaca (di dalam solat) pada hari Jumaat dan Hari Raya.”(Hadis riwayat Muslim, 878)

Pada Hari Raya, solat sunat akan dilaksanakan terlebih dahulu kemudian diikuti dengan khutbah Hari Raya. Ibn Abbas r.a berkata: “Aku menghadiri solat sunat Hari Raya Fitrah bersama Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar r.a, Umar r.a dan Usman r.a di mana semua mereka menunaikan solat terlebih dahulu, kemudian baru berkhutbah.” (Sahih Bukhari and Sahih Muslim)