Sambutan Hari Raya mengikut syariat Islam

Budaya Chan Abdullah 22-Mei-2020
Anak comel menyambut Syawal © Aiman Khair | Dreamstime.com

Setelah sebulan umat Islam berpuasa, tibalah masa untuk menyambut hari kemenangan iaitu Hari Raya Aidilfitri. Walaupun begitu, sambutan hari raya hendaklah disambut berdasarkan tuntutan syarak dan syariat Islam. Di samping itu, jangan lupa amalan normal baharu di waktu kita masih lagi dilanda wabak COVID-19.

Aidilfitri seharusnya menjadi hari kemenangan umat Islam setelah sebulan mengekang dan menundukkan nafsu di bulan Ramadan. Namun dalam keriangan menyambut Aidilfitri, harus kita sedari ianya bukan sekadar demi keseronokan, tetapi untuk mendapat keredaan Allah SWT.

Antara garis panduan yang kita boleh ikuti ialah memastikan zakat fitrah sudah dibayar sebelum solat sunat Aidilfitri. Umat Muslim juga tidak boleh menyambut hari raya dengan hiburan dan perbuatan yang melalaikan serta sia-sia.

Kita juga harus menjaga batas pergaulan dan aurat. Tidak dinafikan apabila hari raya menjelma, sanak-saudara dan kaum keluarga akan berkumpul bersama-sama. Pada waktu ini juga kita harus peka dan ambil berat tentang batas-batas pergaulan terutamanya jika mahu bersalaman. Bagi yang bukan muhrim, masih tidak boleh bersalaman dan bersentuhan secara bebas.

Mengelakkan pembaziran terutamanya dalam hidangan makanan. Firman Allah SWT dalam surah Al-A’raaf, ayat 31: “Dan makan dan minumlah, tetapi janganlah kamu berlebih-lebihan. Allah sangat tidak suka orang-orang yang berlebih-lebihan.” Hari Raya Aidilfitri bukanlah alasan untuk kita makan dengan sewenang-wenangnya. Bersederhana dan bersyukurlah kita kepada Allah atas nikmat pemberian-Nya.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kebaikanmu membuatkan dirimu bahagia, tenang dan gembira, manakala kejahatanmu membuatkan dirimu sedih dan takut pada azab Allah, maka kamu adalah mukmin.” (Hadis riwayat Ahmad)

Selain itu, kita juga boleh melakukan amalan-amalan sunat yang telah dilakukan Baginda SAW di Aidilfitri, antaranya ialah:

  • Mandi sunat hari raya
  • Banyakkan bertakbir dan memuji kebesaran Allah. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 185: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa Ramadan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu supaya kamu bersyukur.”
  • Makan sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri. Anas ibnu Malik r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW akan makan beberapa biji tamar (dalam bilangan yang ganjil) sebelum Baginda keluar ke masjid untuk solat sunat hari raya. (HR Bukhari)
  • Menunaikan solat sunat Aidilfitri. Namun untuk tahun ini, pastikan kita ikuti garis panduan yang dikeluarkan Majlis Agama negeri masing-masing bagi tujuan solat sunat Aidilfitri berjemaah di masjid. Jika tidak, anda boleh sahaja tunaikannya di rumah bersama keluarga.

Sambutlah Hari Raya Aidilfitri mengikut ajaran Islam. Jauhilah pembaziran, percampuran lelaki dan perempuan, dan jika mahu berjabat tangan dengan orang yang bukan mahram dan sebagainya.

Syawal kemenangan perlu disambut dengan penuh kesyukuran supaya dapat menjemput keberkatan dan keredaan Allah SWT.