Sambutan Hari Raya Aidiladha

Agama Hanita Hassan 31-Jul-2020
Sambutna Hari Raya Aidiladha © Hafiza Samsuddin | Dreamstime.com

Aidiladha ialah hari raya yang paling besar dan banyak kelebihannya selain Hari Raya Aidilfitri dan Hari Jumaat yang merupakan tiga perayaan bagi orang yang beriman. Hari Jumaat merupakan hari raya mingguan selepas kita menyempurnakan solat yang dituntut oleh Islam.  Manakala Hari Raya Aidilfitri selepas selesai melakukan puasa di bulan Ramadan iaitu rukun ketiga dalam prinsip rukun Islam.

Aidiladha disebut juga sebagai Hari Raya Korban.  Perkataan ‘Adha’ adalah bentuk jamak daripada kata ‘Dahiyah’ yang bererti haiwan korban.  Korban atau ‘Udhiah’ bermaksud menyembelih haiwan tertentu jenisnya daripada ternakan seperti unta, lembu, kerbau, biri-biri dan kambing.

Hari Raya Aidiladha diraikan selepas umat Islam sempurna melakukan ibadat haji dengan berwukuf di padang Arafah. Kemudian selepas melakukan ibadat di Arafah, maka terlepaslah orang-orang yang beriman daripada azab api neraka dan selepas itu semua umat Islam menyambut hari raya.

Bagi yang tidak dipanggil menunaikan haji boleh melakukan korban selama empat hari bermula 10 Zulhijah iaitu pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijah) dan pada hari Tasyrik (11,12,13 Zulhijah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT. Disyaratkan ke atas umat Islam melakukan penyembelihan dengan menumpahkan darah mana-mana binatang yang dibenarkan untuk dikorbankan.

Bagi yang menunaikan haji mereka selanjutnya melontar jamrah, disyariatkan juga untuk bertahallul daripada perkara yang diharamkan haji, melakukan sunat haji, menunaikan nazar, menyembelih binatang untuk dikorbankan kemudian melakukan tawaf di Baitul Atiq (Kaabah). Kaum muslimin lain yang tidak berpeluang menunaikan ibadah haji pula berkumpul untuk melakukan zikir, takbir dan solat sunat hari raya serta melaksanakan korban bagi yang berkemampuan.

Rasulullah SAW menyarankan umat Islam agar menyambut hari raya dengan memperbanyak memuji kebesaran Allah SWT. Sepertimana sabda baginda yang bermaksud:  “Hiasilah hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah).”  (Hadis riwayat al-Thabrani).  Kita bertakbir, bertahmid dan bertahlil bermula dari Subuh Hari Arafah (9 Zulhijah) sehingga waktu Asar pada 13 Zulhijah (Takbir Muqayyad).

Aidiladha adalah hari untuk kita menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan serta meninggalkan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah.  Pada pagi Hari Raya Aidiladha, kita boleh melakukan perkara sunat yang antaranya mandi sunat Aidiladha dan memakai pakaian baharu serta bersih sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.

Kita disunatkan memakai harum-haruman dan wangi-wangian yang menyenangkan serta memohon keampunan dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga. Sunat menjamah makanan dan minuman selepas pulang dari masjid.  Gunakan jalan berbeza sewaktu pergi dan pulang dari masjid.  Lebih afdal adalah dengan berjalan kaki jika masjid berdekatan rumah.  Selain itu, bersolat sunat hari raya dan mendengar khutbah, menziarahi keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai serta memperbanyak bersedekah.

Meskipun Aidiladha hadir kali ini dengan pandemik COVID-19 yang masih tidak menampakkan kesembuhannya.  Namun kita yakin segala yang disuratkan ini mengandungi banyak kebaikan yang tersirat.  Sesungguhnya tiada yang lebih baik sekiranya kita reda dengan apa yang dianugerahkan Allah SWT.