‘Sangkar’ Bukan Sekadar Aksi Pertarungan MMA

Keangkuhan, pertarungan, keinsafan, kemaafan, kekeluargaan dan persahabatan.

Itu antara tema yang diangkat dalam naskhah terbaharu pengarah prolifik, Kabir Bhatia yang hadir mempertaruhkan filem aksi drama, Sangkar.

Filem MMA (Mixed Martial Arts) pertama di Malaysia itu melihat kembali gabungan antara Kabir Bhatia dengan penulis skrip, Mira Mustaffa yang pernah meghasilkan filem-filem hebat seperti Cinta, Sepi, Nur Kasih The Movie dan Pulang.

Menurut Kabir, ketika beliau dihubungi untuk mengarahkan filem Sangkar, beliau difahamkan filem itu membabitkan bidang sukan lasak dan mempunyai struktur penceritaan tersendiri.

“Saya harus menggali ke dasar dan mencari apa yang membuatkan filem sukan lasak boleh diterima penonton.

“Kita tahu babak pertarungan amat penting, tetapi elemen yang menghubungkan kesemua watak dan penceritaan adalah bukan sekadar pertarungan sahaja, malah lebih daripada itu.

“Saya mengimbas semua filem yang bertemakan sukan lasak terbaik yang pernah saya tonton seperti Rocky dan Ali.

“Apa yang mereka ketengahkan bukan sekadar aksi dalam gelanggang, namun lebih kepada kepercayaan diri sendiri dan hubungan dengan orang tersayang,” ceritanya mengenai pengarahan filem Sangkar.

Di sebalik perlawanan hebat di dalam gelanggang yang dipaparkan dalam Sangkar, apa yang cuba diketengahkan oleh produksi filem tersebut adalah tentang bagaimana dua lelaki yang berjuang di luar gelanggang untuk melepaskan diri daripada belenggu dan anasir negatif dalam diri sendiri.

Watak Adam yang dijayakan oleh Zul Ariffin ternyata berjaya menjentik hati penonton dengan lakonan bersahaja dan lontaran dialog yang tidak dibuat-buat serta kelihatan natural.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Sangkar adalah filem lakonan terbaik Zul Ariffin setakat ini yang menyerlahkan bakatnya sebagai seorang pelakon lelaki yang hebat dan versatil.

Manakala Remy Ishak yang memegang watak Johan pula tidak boleh dipandang ringan kerana ternyata bukan mudah untuk menukar lakonan secara 180 darjah daripada seorang atlet tinju yang berbadan sasa kepada seorang lelaki lumpuh yang tidak sengaja terbuang air besar di dalam tren.

Berlatarbelakangkan pertarungan MMA, Sangkar mengisahkan tentang Adam, seorang pejuang MMA yang angkuh, telah memenangi sebuah pertarungan menggunakan taktik kotornya.

Disebabkan rasa angkuhnya yang tinggi, Adam secara tidak sengaja telah mencederakan lawannya, Johan di luar sangkar sehingga menyebabkan Johan koma dan lumpuh seluruh badan.

Adam dibelenggu rasa bersalah kerana tindakannya itu telah menyebabkan adik-adik Johan, Lea dan Reza kehilangan tempat bergantung selain perlu mendapatkan wang yang banyak untuk bayaran perubatan Johan dan Reza.

Bagi menebus kesalahannya, Adam kembali dalam pertarungan jalanan dan duit yang diperoleh daripada kemenangan itu diberikan kepada Lea untuk membeli ubat buat Reza dan rawatan Johan.

Tanpa disedari, Adam dan Johan menjadi semakin rapat, daripada seteru kepada sahabat baik meskipun Johan pernah berasa marah kepada Adam kerana menyebabkannya menjadi lumpuh.

Apabila keadaan Johan semakin kritikal dan perlu menjalani rawatan lagi, Adam mengambil keputusan untuk bertarung dengan peninju hebat dari Russia, James “Sledgehammer” McSweeney untuk mendapatkan habuan lebih besar bagi menebus kesalahannya kepada Johan.

Berjayakah Adam dalam pertarungan tersebut? Dapatkah dia dapat menebus dosa serta memohon kemaafan daripada Tuhan dan Johan sekeluarga, dan paling utama memaafkan dirinya sendiri?

Banyak babak yang mengusik perasaan, aksi pertarungan mendebarkan serta dialog dan babak lucu yang pastinya akan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Paling mencuti hati adalah babak-babak persahabatan antara Adam dan Johan atau apa yang sering kita sebut sebagai ‘bromance’ yang pastinya akan membuatkan para peminat dua aktor kacak ini tidak lena malam dibuatnya.

Ternyata, filem yang diterbitkan hasil kolaborasi empat penerbit gergasi iaitu Primeworks Studio, Astro Shaw, Infinitus Gold dan mm2 Entertainment ini dilihat mampu mencatatkan kutipan pecah panggung dan menjadi fenomena di negara ini.

Sangkar bakal ditayangkan di 143 pawagam di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura mulai 29 Ogos 2019.

Foto: Astro Shaw

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Di sebalik perlawanan hebat di dalam gelanggang yang dipaparkan dalam Sangkar, apa yang cuba diketengahkan oleh produksi filem tersebut adalah tentang bagaimana dua lelaki yang berjuang di luar gelanggang untuk melepaskan diri daripada belenggu dan anasir negatif dalam diri sendiri.