‘Sangkar’ Kolaborasi Mega Empat Penerbit

Buat julung kalinya, Media Prima dan Astro menerusi bahagian penerbitan filem masing-masing, Primeworks Studios dan Astro Shaw bersama produksi Infinitus Gold dan mm2 Entertainment bergabung usaha dalam menerbitkan sebuah filem MMA (Mixed Martial Arts) melayu pertama Malaysia, Sangkar.

Filem yang bakal menggegarkan pawagam pada Ogos 2019 ini merupakan kolaborasi mega antara empat penerbit dan dijangka merangsang lagi industri filem tempatan dengan penggabungan visi dan bakat kreatif keempat-empat rakan kongsi ini.

Pengarah yang berasal dari Mumbai dan menetap di Malaysia, Kabir Bhatia menjadi teraju utama memikul tanggungjawab yang berat dalam memastikan keupayaan untuk menzahirkan lakon layar yang terbaik.

Tambahan pula, ia merupakan kali pertama beliau memberi sentuhan pada filem bergenre aksi drama.

Sebelum ini, Kabir juga pernah bekerjasama dengan Astro Shaw dan Primeworks Studios dalam menjayakan projek-projek seperti filem ‘Bisik Pada Langit’ serta filem ‘Pulang’.

Sangkar membariskan pelakon terkenal seperti Zul Ariffin, Remy Ishak, Mira Filzah, Fadlan Hazim, Ray, Aman Graseka, Carliff Carleel, Andy Teh dan atlet peninju profesional MMA sebenar iaitu James ‘Sledgehammer’ Mcsweeney.

Filem Sangkar menceritakan tentang watak Adam dan Johan yang berlawan di luar gelanggang sehingga menyebabkan Johan cedera parah.

Bagi menebus kesalahannya, Adam kembali dalam pertarungan jalanan demi dapatkan habuan untuk membantu Johan sekeluarga. Johan pula bertarung dengan hidupnya sendiri demi keluarganya.

Adam membuat keputusan untuk bertarung dengan atlet MMA luar negara bagi mendapat habuan lebih besar. Mampukah Adam dan Johan bergelut keadaan serta menebus dosa lalu dalam berdepan cabaran masing-masing?

Saksikan filem Sangkar di pawagan berhampiran anda pada bulan Ogos ini.

Foto: Astro Shaw & Facebook Primeworks Studios