Sate, kegemaran rakyat Malaysia

Makanan Hanita Hassan 11-Ogo-2020
Sate, bersama nasi himpit dan kuah kacang © Szefei | Dreamstime.com

Sate adalah antara makanan kegemaran kebanyakan rakyat Malaysia dan amat sinonim dengan orang Melayu. Ia dibuat daripada kepingan daging perapan rempah ratus yang sederhana saiznya, dicucuk pada sebatang lidi kelapa atau buluh dan dibakar di atas bara arang sehingga masak.

Setiap batang lidi mengandungi empat kepingan daging.  Daging lembu dan ayam paling popular. Selain itu, terdapat juga pilihan beberapa jenis Sate yang boleh dicuba. Antaranya Sate Arnab, Sate Perut, Sate Hempedal, Sate Kerang, Sate Ikan dan Sate Ampai-ampai.

Biasanya Sate dihidang bersama ketupat atau nasi himpit. Timun dan bawang juga disediakan. Ia bertindak sebagai bahan untuk meneutralkan karbon yang ada pada sate apabila ia dibakar. Kuah sate dibuat daripada kacang yang dikisar dan dimasak bersama cili, bawang, gula, garam dan air asam.

Di Malaysia, Sate sering dikaitkan dengan Sate Kajang. Jenama ini juga terdapat di Bayan Baru, Pulau Pinang, Ipoh, Muar dan Johor Bahru.  Sate dipercayai diperkenalkan oleh Haji Tasmin bin Sakiban di pusat bandar Kajang sekitar tahun 1900. Beliau memulakan perniagaan sate dengan menjual dari rumah ke rumah dan di sepanjang jalan menggunakan kandar.

Bagi penumpang kapal terbang kelas Pertama dan kelas Bisnes, Sate dijadikan hidangan pembuka selera dalam dua sistem penerbangan Malaysia dan Singapura.

Di Melaka, banyak tempat popular yang menjual Sate. Salah satu yang terkenal ialah Sate Kampung Jawa atau nama kedainya ‘Restoran Line Clear’. Dibuka seawal jam 11 pagi hingga lima petang. Restoran ini sentiasa penuh.

Pelanggan sanggup menunggu lama semata-mata mahu merasai keenakan Sate di sini sambil menikmati pemandangan indah di tebing sungai Melaka. Selain hidangan sate yang pelbagai jenis, mee rojak dan cendol pulut antara menu pilihan popular di sini.

Jika disingkap sejarah latar belakang Sate, ia dikatakan berasal dari Indonesia. Makanan ini turut mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di  Asia Tenggara seperti negara  Singapura, Filipina dan Thailand selain Malaysia. Ia juga digemari oleh penduduk di Belanda.

Perkataan Sate atau Satai dipercayai berasal dari bahasa Tamil.  Ia dikatakan telah dicipta oleh pedagang makanan jalanan di Jawa sekitar abad ke-19. Kehadiran pendatang dari Arab dan Muslim Tamil serta Gujerat dari India ke Indonesia menjadikan sate tambah popular terutama sate daging kambing dan lembu.

Bagi peminat Sate, anda boleh mencuba membuatnya sendiri di rumah.  Pilihan daging terpulang kepada anda sama ada menggunakan daging lembu atau ayam. Daging atau isi ayam hendaklah dipotong dadu, kemudian diperap dengan bahan perapan yang telah dikisar.

Bahan perapan terdiri daripada serai, bawang merah, bawang putih dan cili merah, halia, garam, buah pelaga serta jintan, jintan manis, ketumbar, gula merah, minyak sayur dan serbuk kunyit.  Semua bahan ini dikisar.

Setelah daging diperap selama satu jam, cucuk daging yang diperap ke lidi dan boleh mula memanggang menggunakan kuali pemanggang. Renjiskan minyak semasa memanggang menggunakan batang serai untuk menaikkan aroma daging sekiranya perlu.

Hidangkan bersama kuah kacang atau sos cili.  Selamat mencuba.