Satukan Rasa Siti Nordiana dan Khai Bahar

Dua figura ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Bukan sedikit peminat yang memuja kedua-dua penyanyi ini.

Kejayaan demi kejayaan diraih Siti Nordiana dan Khai Bahar sehingga meletakkan mereka berdua di antara penyanyi yang berada di kelas tersendiri.

Meski pun berbeza usia pembabitan dalam bidang seni, Siti Nordiana dan Khai Bahar mampu mencipta magis tersendiri setiap kali menghiburkan peminat.

Bermula dengan duet di aplikasi Smule dua tahun lalu menerusi lagu ‘Memori Berkasih’, gandingan mereka sentiasa ditunggu peminat.

Selepas sekian lama menanti, akhirnya impian peminat untuk menyaksikan Siti Nordiana dan Khai Bahar muncul dengan lagu duet akhirnya menjadi kenyataan.

‘Satukan Rasa’ menjadi single taruhan pasangan duet ini. Lagu berentak pop balada ini adalah hasil ciptaan Kanda dan Dinda serta liriknya ditulis oleh Iman Imran.

Menurut Siti Nordiana atau nama sebenarnya Siti Nordiana Alias, idea untuk berduet bersama Khai Bahar sudah lama difikirkan namun kekangan masa membuatkan perancangan itu terpaksa ditunda.

“Kami betul-betul buat keputusan untuk berkolaborasi pada Mei lalu. Saya WhatApp Khai dan mencadangkan untuk terus buat lagu duet.”

“Apatah lagi saya sudah agak lama tidak keluar dengan lagu baru. Kali terakhir menerusi lagu ‘Hatiku Milikmu’ lebih setahun lalu.”

“Saya rasa idea untuk menyanyikan lagu duet ini bagus memandangkan peminat sudah lama tunggu dan sering bertanya mengenai perkara ini.”

“Ketika kali pertama saya berduet dengan Khai di Smule, jumlah tontonan mencecah angka berjuta. Orang kata, selagi orang suka dan ada permintaan, apa salahnya bukan? Inilah masanya,” ujar Siti Nordiana yang mesra disapa Nana.

“Saya yakin lagu ‘Satukan Rasa’ ini dapat diterima peminat dan pencinta muzik tanahair. Apa yang penting, lagu ini membuka dimensi baru dalam skop kerjaya kami berdua,” tambah Nana lagi.

Bagi Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, kolaborasi bersama juara program ‘Gegar Vaganza’ musim kedua itu adalah satu penghargaan buat dirinya.

Malah, Khai berkata Siti Nordiana adalah idolanya selain beberapa artis wanita lain seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Ziana Zain.

“Alhamdulillah, sebelum ini saya pernah berduet dengan Tok Ti. Kali ini diberi peluang bekerjasama dengan Kak Nana pula. Kalau ikutkan, sudah banyak kali kami berduet dalam acara persembahan, tetapi merakamkan lagu bersama adalah sesuatu yang istimewa.

“Bagi saya, kelebihan berduet bersama Kak Nana adalah kerana ‘tone’ suara kami yang lebih kurang sama. Jadi, apabila berduet ia mudah serasi. Dalam masa sama, hubungan rapat kami menjadikan kerjasama ini lebih mudah,” ujar Khai.

Selain bersatu dalam single ‘Satukan Rasa’, Siti Nordiana dan Khai Bahar juga bakal membintangi drama terbitan Astro yang akan bersiaran pada bulan Oktober atau November hadapan.

‘Satukan Rasa’ edaran Seventeen Eleven Music Sdn. Bhd ini boleh dimuat turun di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KK Box, Deezer dan iTunes.

Muzik video rasmi ‘Satukan Rasa’ juga boleh mula ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Kredit foto : Seventen Eleven Music