Sebab wanita hamil disarankan untuk tangguh pengambilan vaksin COVID-19

Kesihatan 12 Mac 2021 Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Sebab wanita hamil disarankan untuk tangguh pengambilan vaksin COVID-19
Sebab wanita hamil disarankan untuk tangguh pengambilan vaksin COVID-19 © Mykola Sosiukin | Dreamstime.com

Buat masa ini, suntikan vaksin COVID-19 terhadap penerima vaksin di seluruh dunia telah mula menunjukkan perkembangan positif. Namun, sepertI yang kita ketahui, tidak semua individu boleh diberikan suntikan vaksin COVID-19 ini. Ini termasuklah wanita hamil.

Mengapa wanita hamil tidak disarankan untuk mengambil suntikan vaksin ini?

Golongan yang tidak disarankan untuk mengambil vakin COVID-19

Terdapat beberapa kelompok atau golongan yang tidak disarankan untuk mengambil vaksin COVID-19 ini. Antara golongan tersebut ialah mereka yang mempunyai masalah alahan atau alergi, mereka yang kekurangan daya imun tubuh, kanak-kanak, serta wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak.

Ini kerana, data klinikal berkaitan kesan suntikan vaksin terhadap golongan ini masih lagi tidak mencukupi buat masa ini.

Namun, sekiranya lebih banyak data sokongan telah diperoleh, maka saranan ini boleh berubah.

Mengapa wanita hamil disarankan tangguh suntikan vaksin COVID-19?

Sebenarnya, wanita hamil dan golongan-golongan yang telah dinyatakan sebelum ini bukanlah dilarang untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19. Namun, mereka diminta untuk menangguhkan terlebih dahulu hasrat tersebut memandangkan data klinikal berkaitan wanita hamil ini masih tidak mencukupi.

Perlu diketahui bahawa, dalam fasa ujian klinikal vaksin COVID-19 sebelum ini, golongan seperti wanita hamil tidak dilibatkan dalam ujian tersebut. Oleh itu, tidak terdapat banyak bukti atau data yang menerangkan atau memperlihatkan kesan suntikan vaksin tersebut terhadap wanita hamil.

Dikhuatiri jika wanita hamil mengambil suntikan vaksin ini, ia mungkin boleh menyebabkan kesan sampingan kepada bayi di dalam kandungan dan juga ibu hamil itu sendiri.

Saranan terhadap wanita hamil akan berubah setelah banyak data diperoleh

Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, buat masa ini wanita hamil tanpa mengira trimester tidak disarankan untuk mengambil suntikan vaksin ini.

Saranan ini juga boleh berubah setelah pihak Kementerian Kesihatan Malaysia memperoleh lebih banyak data yang menyokong pengambilan vaksin oleh wanita yang sedang hamil.

Namun, sekiranya mereka telah disahkan selamat untuk mengambil vaksin oleh doktor masing-masing, maka mereka boleh mengambilnya. Wanita hamil perlu merujuk kepada doktor dan pakar yang merawat untuk memastikan risiko mereka menerima suntikan vaksin COVID-19.

Bersabar untuk kebaikan anda

Buat wanita yang sedang hamil pada ketika ini, anda diminta bersabar sehinggalah pihak berwajib mengesahkan keselamatan penggunaan vaksin COVID-19 terhadap wanita mengandung.

Kami yakin, sepertimana orang lain, anda juga amat menantikan suntikan vaksin ini. Namun bagi mengelakkan risiko yang lebih besar, kita perlu bersabar untuk sedikit masa lagi. Giliran anda untuk menerima vaksin pasti akan tiba.