Sebarkan positif, walaupun diri seorang yang negatif

Kesejahteraan Mental Tari Basir
Tari Basir
Sebarkan positif, walaupun diri seorang yang negatif
Sebarkan positif, walaupun diri seorang yang negatif © Franz1212 | Dreamstime.com

Pernah tak kita berhadapan dengan situasi dimarahi majikan di tempat kerja, atau bergaduh dengan insan yang disayangi? Emosi-emosi negatif seperti marah, tidak puas hati dan sebagainya terperap dalam hati, dan tidak dapat diluahkan kembali.

Jauh di lubuk hati kita, kita mengetahui kesan yang lebih buruk akan berlaku sekiranya kita meluahkan apa yang terbuku. Mungkin kita akan dibuang kerja oleh majikan, atau berpisah dengan insan yang disayangi. Oleh itu, kita terpaksa beralah dan senyap walaupun kita di pihak yang betul.

Berjaga-jaga dalam perkataan dan perbuatan

Namun, perasaan negatif yang terpendam itu diluahkan kepada orang yang tidak sepatutnya. Apabila kita pulang ke rumah, perasaan marah kepada majikan pagi tadi kita lepaskan kepada anak-anak yang bermain di waktu petang. Malahan, kita tegar naik tangan walaupun tiada kesalahan besar yang mereka lakukan.

Ataupun kita lepaskan kemarahan tersebut kepada kawan-kawan atau ibu bapa pula, walaupun mereka insan lain yang kita sayangi. Padahal bukan mereka yang sepatutnya menjadi tempat perasaan-perasaan tersebut diletuskan, umpama lava api yang terpendam lama di dasar gunung berapi.

Kita perlu menyedari, bukan status kita yang memberi kesan kepada kehidupan orang lain. Walaupun kita bukanlah majikan, ayah, suami atau sesiapa pun yang penting dalam kehidupan seseorang, namun perkataan atau perbuatan kita sebenarnya yang memberikan kesan.

Jika perkataan atau perbuatan kita penuh dengan sifat-sifat mahmudah, maka ia memberikan kesan baik kepada seseorang itu. Bahkan, jika kena kepada mereka yang ditimpa masalah atau tiada semangat dalam kehidupan, perkara tersebut menghidupkan mereka umpama bunga layu disiram air hujan.

Jika sebaliknya, iaitu dipenuhi dengan sifat-sifat mazmumah atau disampaikan penuh emosi dan keras, ia mampu meruntuhkan semangat dan merosakkan hari seseorang itu. Sehingga satu tahap, ia akan dikenang sepanjang zaman dan menjadi igauan ngeri mereka. Malahan mampu menjatuhkan keyakinan mereka walaupun dahulunya berkeyakinan tinggi, umpama batu yang merekah dek titisan air.

Sebarkan positif, walaupun diri penuh negatif

Bukan semua orang berjalan di atas jalan kehidupan yang sama seperti kita. Mungkin bagi sesetengah orang, kehidupannya penuh dengan kegembiraan dan kebahagiaan. Berbanding kita yang kadangkala hari dipenuhi dengan warna hitam lagi suram.

Namun, ia tidak bermakna kita diberi izin untuk mewarnakan hari orang lain yang sedia terang lagi berwarna-warni dengan warna kehitaman kehidupan kita. Tidak bermakna orang lain juga layak merasai kenegatifan kita, tatkala kita tidak merasai kepositifan mereka.

Walaupun bibir kita tidak punya sebab untuk tersenyum, cuba sedaya upaya untuk mengukirnya walaupun serba tawar. Jika tiada orang yang berbuat baik kepada kita, biarlah kita yang berbuat baik kepada orang lain. Walaupun disakiti, jangan kita pindahkan kesakitan tersebut kepada mereka yang tidak patut menerimanya.

Hakikatnya, kita mempunyai pilihan dalam menyebarkan positif atau negatif. Yang pastinya, pilihan tersebut akan memberi kesan sedikit sebanyak dalam kehidupan orang lain pula. Oleh itu, sentiasalah berhati-hati dalam berkata atau berbuat sesuatu. Takut-takut andai ia penuh dengan kenegatifan, ia mampu mengubah kehidupan mereka yang penuh positif.

Tidak susah untuk sebarkan positif dalam kalangan ruang lingkup. Bukankah menggembirakan orang lain ialah perkara yang disukai oleh Allah SWT? Malahan tersebarnya akan terus meliputi lebih ramai orang lagi. Lalu lebih ramai orang yang tersenyum kerana kita, walaupun kita tidak punya senyuman.