Sebutlah Bismillah! Ini adab dan fadilat doa makan

Doa 24 Apr 2021 Hannan
Pilihan
Sebutlah Bismillah! Ini adab dan fadilat doa makan
Sebutlah Bismillah! Ini adab dan fadilat doa makan © Heru Anggara | Dreamstime.com

Doa makan merupakan salah satu doa yang menjadi amalan kita setiap hari. Sebenarnya, mungkin ramai yang tidak sangka bahawa doa makan mempunyai fadilat yang tersendiri.

Membaca doa sebelum makan merupakan antara adab yang diturunkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Selain itu, kita juga dituntut untuk membaca basmalah sebelum makan bertepatan dengan sabda Baginda:

“Sekiranya seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (Bismillah). Sekiranya dia terlupa (menyebut nama Allah) pada awal (mula makan), maka sebutlah ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya).”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi, 1858)

Malah, tahukah anda ungkapan ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ juga boleh dibaca jika anda terlupa membaca doa makan?

Membaca doa makan merupakan amalan sunat yang dituntut sebelum makan. Namun, membaca basmalah sahaja sudah cukup semasa mengambil suapan pertama.

Jika terlupa, tidak apa! Masih ada doa lain yang boleh diamalkan. Bukankah Islam ini agama yang memudahkan?

Sebelum kita mengupas lebih lanjut mengenai fadilat doa makan, mari ambil tahu mengenai adab-adab semasa makan yang perlu kita amalkan.

Adab semasa makan

Penulis pasti, semua orang sudah tahu adab semasa makan. Malah, adab ini juga sering ditekankan oleh ibu kita semasa berada di rumah.

Sebagai contoh, kita sudah diajar untuk membasuh tangan dan membaca doa sebelum makan. Kemudian, capai makanan yang paling dekat terlebih dahulu. Utamakan datuk, nenek, ibu bapa atau orang yang lebih tua ketika mengambil makanan.

Selain itu, duduk dengan tertib dan elakkan makan dengan tergopoh-gapah. Elakkan makan terlalu banyak dan berhentilah sebelum kenyang menepati sunnah Rasulullah SAW.

Malah, Imam Syafie juga pernah menegah amalan makan terlalu kenyang. Beliau menjelaskan:

“Kerana kenyang menjadikan badan menjadi berat, hati menjadi keras, mengurangkan kecerdasan, lebih banyak tidur dan melemahkan untuk melakukan ibadah.”

Oleh sebab itu, elakkanlah makan sehingga terlalu kenyang. Amalan ini juga tidak baik untuk kesihatan kita.

Fadilat dan keistimewaan doa makan

“Ya Allah, berkatilah kami dalam rezeki yang telah Engkau berikan kepada kami dan peliharalah kami dari azab api neraka.”

Itulah maksud doa makan yang kita baca setiap hari. Maksudnya yang mendalam ini mempunyai hikmah dah fadilat yang tersendiri jika diamalkan pada keadaan tertentu.

Di laman sosial seperti Facebook dan Twitter, ramai yang tampil ke hadapan dan berkongsi cerita mengenai keajaiban doa makan ini. Menurut mereka, doa ini bukan sahaja boleh dibaca sebelum makan, ia juga boleh dibaca sebagai doa untuk memudahkan urusan harian.

Selepas makan, eloklah kita tamatkannya dengan membaca doa berikut:

“Segala puji bagi Allah yang telah memberi makan kami dan minuman kami, serta menjadikan kami sebagai orang-orang islam”

Sebagai umat Islam, eloklah kita mengamalkan pembacaan doa sebelum dan selepas makan. Amalan ini juga baik jika kita ajarkan kepada anak-anak kita supaya mereka juga boleh menjadi sebahagian daripada mereka yang mengamalkan sunnah-sunnah Nabi dalam kehidupan seharian. Insya-Allah!