Sebutlah nama Allah Taala apabila kamu terlupa!

Kesejahteraan Mental 02 Feb 2021 Hanita Hassan
Hanita Hassan
Sebutlah nama Allah Taala apabila kamu terlupa!
Sebutlah nama Allah Taala apabila kamu terlupa! © Airdone | Dreamstime.com

Seiring peredaran waktu, setiap manusia yang dilahirkan akan meningkat usia.  Daripada usia bayi, kemudian meningkat kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua.  Apabila usia semakin tua, pergerakan anggota mulai terbatas.

Berlaku banyak kemerosotan fungsi badan termasuk pada otak, seperti fungsi mengingat. Kita mengambil masa yang panjang untuk mengingat sesuatu, berjalan, makan, mandi dan sebagainya.

Pelupa itu sifat manusia

Namun, ada juga kalangan kita yang masih muda tetapi menghadapi masalah pelupa.  Ia terjadi kerana gangguan kognitif dalam sel saraf otak yang berperanan mengingat dan berfikir atau sejarah pengambilan ubat yang mempengaruhi aliran darah ke otak.

Gangguan kognitif ringan berlaku akibat penurunan fungsi kongnitif yang menyebabkan anda lupa perkara-perkara kecil.  Melupakan benda peribadi, janji temu, jadual yang bukan rutin atau kesukaran mengingat nama seseorang.

Sehingga kini masih tiada rawatan khusus untuk merawat masalah pelupa (dementia) atau digelar nyanyuk bagi yang sudah berusia lanjut. Namun para saintis telah mengenalpasti beberapa faktor yang boleh melindungi diri daripada mengalami gejala ini.

Sekiranya anda sudah mempunyai masalah kesihatan dan ingatan, ditambah pula faktor sejarah keluarga yang mempunyai masalah mental.  Justeru anda digalakkan melakukan senaman dan aktiviti fizikal.  Aktiviti sihat ini boleh menjaga jantung, mengatasi masalah kencing manis, darah tinggi, kanser kolon dan kanser payu dara.

Ia juga boleh merawat kesukaran untuk tidur (insomnia), gelisah (anxiety) dan kemurungan. Bagi jangka masa panjang, boleh mengelakkan anda daripada penyakit pelupa atau nyanyuk.

Anda juga boleh mengamalkan mediterranean diet iaitu pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan snek dalam bentuk bijiran (whole grains), kekacang dan bijiran.  Tambahkan minyak zaitun dan lebihkan ikan dalam hidangan.

Begitu juga dengan produk berasaskan susu dan tenusu (yogurt dan keju).  Dalam masa yang sama selain pemakanan, anda juga perlu memastikan tidur yang cukup dan bekualiti untuk tubuh.

Sebutlah nama Allah Taala apabila terlupa

Anda boleh melatih minda untuk membaca dan menghafaz al-Quran setiap hari khususnya di waktu pagi iaitu selepas Subuh, berzikir dan mengingat Allah SWT untuk menguatkan minda. Hubungan yang baik dengan ahli keluarga juga boleh membantu kesihatan anda.

Sesungguhnya manusia itu sifatnya pelupa. Sehingga ia disebut dalam sebuah ungkapan yang masyhur yang bermaksud:  “Dan tidaklah dinamakan manusia itu melainkan kerana sifat pelupanya.”

Dalam kalangan ulama menyebut bahawa setiap kali kita terlupa, disarankan agar menyebut nama Allah SWT. Kita juga disarankan agar berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan sebutlah nama Tuhan kamu apabila kamu terlupa.”

(Surah al-Kahf, ayat 24)

Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di dalam tafsirannya ke atas ayat ini berkata:

“Dan diambil dari keumuman firman Allah ini, perintah untuk zikrullah ketika terlupa. Ini kerana ia dapat menghilangkan kelupaan serta akan mengingatkan seorang hamba itu perkara yang dia terlupa’.’

(Rujuk Taisir al-Karim al-Rahman, Al-Sa’di (5/956)

Meskipun terdapat hadis-hadis berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW berkenaan perkara ini, namun ia bersifat daif.  Walau bagaimanapun, menurut ulama ia boleh diamalkan di dalam bab fadilat amalan dengan beberapa syarat yang telah disebutkan oleh beberapa ulama seperti Ibnu Hajar al-Asqalani dan sebagainya.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita semua dalam beragama, aamin.