Sedekah yang pelbagai meluaskan rezeki

Agama Hanita Hassan 04-Mei-2020
Sedekah makanan kepada yang memerlukan © Todsaporn Bunmuen | Dreamstime.com

Sedekah adalah perkataan yang berasal daripada perkataan bahasa Arab, sadaqah yang bermaksud benar. Dari segi syarak, perkataan sedekah pula bermakna pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Umat Islam dianjurkan bersedekah  kerana ia adalah akhlak seorang mukmin.  Allah SWT dan Rasul-Nya memerintahkan bahkan memberi contoh kepada umat Islam untuk menjadi dermawan serta pemurah.

Kedermawanan adalah salah satu sifat Allah SWT sebagaimana hadis: “Sesungguhnya Allah Ta’ala itu Maha Memberi, Ia mencintai kedermawanan serta akhlak yang mulia, Ia membenci akhlak yang buruk.” (Hadis riwayat Al Baihaqi, di sahihkan Al Albani dalam Shahihul Jami’, 1744)

Bersedekah dan berinfak tidak akan sesekali menyebabkan harta seseorang itu semakin berkurangan, namun ia dapat memperkayakan hati, membersihkan harta, memanjangkan usia serta melancarkan rezeki yang dikurniakan Allah SWT.

Allah berfirman yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, “Bagaimana jika seseorang itu tidak dapat memberi sedekah sebagaimana biasa iaitu memberi sesuatu benda kepada orang lain dengan niat kerana Allah SWT.”

Baginda menjawab, “Hendaklah seseorang itu bekerja dengan usahanya yang memberi manfaat kepada dirinya berasaskan niat yang bersih seperti dapat berbuat kebajikan kerana Allah SWT.  Usaha murni dan kerja-kerja yang tidak sia-sia dan tidak bertentangan dengan hukum Allah akan mendapat pahala sedekah.”

Sekiranya tidak mendapat sesuatu yang bermanfaat untuk dirinya yang boleh disedekahkan, maka hendaklah dia menolong orang yang menderita dan sangat berhajat kepada pertolongan. Ini bererti sedekah itu bukan terhad kepada benda yang boleh diberikan kepada orang lain sahaja.

Bahkan sedekah juga adalah tenaga dan usaha, sama ada yang berupa tenaga anggota badan, fikiran juga pengaruh di mana semuanya itu boleh melepaskan hajat mereka yang memerlukan.  Pertolongan ini jika dilaksana dengan niat kerana Allah SWT, maka anda akan diberi ganjaran pahala sedekah.

Selain itu, orang yang dapat menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, iaitu tidak membuat sesuatu kerosakan dan membinasakan dirinya dan orang lain, serta tidak melakukan kezaliman juga akan dikurniakan pahala sedekah.

Jelas, sedekah bukan terhad sebagaimana kita maklum tetapi ia merupakan sesuatu yang lebih luas lagi dan tidak terbatas.  Sedekah amat perlu dilaksana oleh setiap muslim sebagai satu kewajipan tambahan agar amal ibadahnya lebih lengkap dan sempurna. Bagi SalamWeb, platform SalamSadaqah menawarkan pilihan kepada pembaca untuk terus bersedekah kerana Allah SWT.