Sediakan Sarapan Sendiri Untuk Lebih Sihat

Mengambil sarapan pagi sebenarnya membantu untuk mengurangkan berat badan kerana ia mengelakkan seseorang itu daripada mengambil makanan ringan atau snek sebelum tiba waktu makan tengahari.

Bagaimanapun, untuk memastikan tubuh badan mendapat tenaga yang mencukupi sebelum tiba waktu makan tengahari, sarapan yang diambil perlulah sihat dan berkhasiat.

Jadi, apakah hidangan yang sesuai untuk dijadikan sarapan pagi? Cuba semak tip berikut, selain daripada enak, ia juga menyihatkan dan mudah untuk disediakan. Cubalah!

1) Sediakan semangkuk salad sebelum anda masuk tidur. Keesokan harinya, hidangan ini boleh dijadikan sarapan pagi yang berkhasiat dan rendah lemak.

2) Buat roti bakar. Untuk manfaat kesihatan, gunakan roti tinggi serat, bukannya roti putih. Untuk menambah perisa, sapukan sedikit mentega kacang dan taburkan sedikit kismis.

3) Mufin juga pilihan yang baik untuk bersarapan. Gunakan bijirin atau buah-buahan kering di dalam adunan.

Untuk menjimatkan masa, cubalah luangkan masa seminggu sekali untuk membakar hidangan ini. Mufin boleh disimpan lama iaitu tidak lebih dua minggu.

4) Jika ingin cepat, sandwic tuna bersama keju dan sebiji epal merupakan pilihan sarapan baik. Kombinasi ini mampu membuatkan perut kenyang sehingga waktu makan tengahari.

5) Semangkuk bijirin sarapan pagi yang dicampur dengan susu segar merupakan sajian sarapan sangat berkhasiat dan amat mudah untuk disediakan.

Untuk menambah selera, masukkan beberapa hirisan buah seperti epal, pisang atau strawberi.

6) Telur dadar bercampur sayur-sayuran segar seperti lobak merah, brokoli, daun seleri, atau cendawan juga pilihan sarapan yang baik kerana ia tinggi protein.

7) Untuk melengkapkan hidangan sarapan, minum jus buah-buahan segar yang dikisar sendiri.

Campurkan sedikit susu segar ke dalam jus untuk mendapat sedikit kalsium. Jangan minum jus yang dijual di pasaraya kerana selalunya ia mengandungi bahan pengawet.

 

Kredit foto : Brooke Lark & Youjeen Cho, Unsplash