Sedikit sejarah Masjid Nabi – Masjid Nabawi

Kepercayaan Abi Aasim 01-Ogo-2020
Al-Masjid an-Nabawi di Madinah, Arab Saudi © Ababil12 | Dreamstime.com

Masjid Nabawi merupakan masjid kedua paling suci mengikut kepercayaan umat Islam. Di Masjid Nabawi ini terletaknya makam Nabi Muhammad SAW. Masjid Nabawi ini telah dibina oleh Baginda sendiri dengan bantuan para sahabat. Masjid ini terletak bersebelahan dengan rumah Baginda.

Sejarah Struktur Masjid Nabawi

Al-Masjid an-Nabawi atau Masjid Nabawi telah dibina buat pertama kali pada tahun pertama Hijrah iaitu sekitar tahun 622 Masehi. Masjid ini dibina pada hari kedua penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke kota Madinah. Keluasan Masjid Nabawi ini dianggarkan 85.5 meter persegi dan mempunyai ketinggian sekitar 2.9 meter. Dikatakan atap Masjid Nabawi ini diperbuat daripada pelepah-pelepah pokok tamar dan disimen dengan tanah liat.

Masjid Nabawi ini dibina sendiri oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat. Baginda sendiri membawa dan memikul  batu bata untuk kegunaan masjid. Pada zaman Khulafa ar-Rasyidin, Umar bin Abdul Aziz telah membangunkan menara di empat sudut Masjid Nabawi.

Selepas pembesaran terakhir, Masjid Nabawi difahamkan boleh menampung  seramai 257,000 orang jemaah pada satu masa. Masjid Nabawi mempunyai 27 buah kubah bergerak, 543 biji kamera untuk mengawal keadaan luar dan dalam masjid. Senibina dan teknologi Masjid Nabawi  yang maju ini juga sering mendapat liputan media seluruh dunia termasuk media barat.

Sejarah menara masjid

Umar bin Abdul Aziz telah membina empat menara pada Masjid Nabawi dengan ketinggian lebih kurang 27.5 meter di empat sudut masjid ini (91 Hijrah). Selepas itu, diikuti pula dengan Sultan Qaitbay dari Mesir yang telah membangunkan menara kelima pada Bab al-Rahmah (Pintu Rahmat).  Ini telah menjadikan Masjid Nabawi mempunyai lima buah menara yang terus dipertahankan hinggalah tiga daripadanya diruntuhkan untuk memberikan laluan kepada Projek Perluasan Saudi Pertama.

Namun, tiga menara yang telah diruntuhkan telah digantikan dengan dua buah menara baharu yang berketinggian 72 meter. Pada Projek Saudi Kedua, enam buah menara telah ditambah pada Masjid Nabawi dengan setiap satunya berketinggian 104 meter. Ini menjadikan jumlah keseluruhan menara pada Masjid Nabawi adalah 10 buah menara masjid.

Di dalam Masjid Nabawi ini juga terletaknya Raudhah. Raudhah ialah satu tempat yang sangat mulia di dalam Masjid Nabawi. Ia menjadi lokasi Rasulullah SAW dan para sahabatnya beribadah dan tempat turunnya wahyu kepada Baginda. Raudhah hanya dibuka pada masa tertentu di Masjid Nabawi. Kawasan Raudhah ini menjadi rebutan para jemaah untuk memohon dan menunaikan solat sunat di dalamnya.

Raudhah juga merupakan taman Syurga berdasarkan satu hadis. Rasulullah SAW bersabda: “Antara rumahku dan mimbarku adalah salah satu taman Syurga.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitulah serba sedikit sejarah Masjid Nabawi yang perlu kita ketahui. Semoga beroleh rezeki dan kesempatan untuk menjadi tetamu Allah SWT di Masjid Nabawi nanti, insya-Allah.