Sejarah Al-Quran diwahyukan

Agama Abi Aasim 30-Apr-2020
Al-Quran yang mulia © Mohamed El Khamisy | Dreamstime.com

Alhamdulillah, sudah hampir seminggu umat Islam melaksanakan ibadat berpuasa di bulan Ramadan. Di dalam bulan Ramadan ini jugalah Allah SWT menurunkan Al-Quran ke dunia ini.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 185: “Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.”

Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT pada  17 Ramadan. Al-Quran diturunkan ke Luh Mahfuz (kitab di mana  Allah menulis segala catatan kejadian alam semesta). Cara turun dan wujudnya Al-Quran di Luh Mahfuz adalah pada waktu yang tidak diketahui kecuali Allah. Firman Allah dalam surah Al-Buruj, ayat 21-22: “Bahkan ialah Al-Quran yang mulia. Diturunkan ke Luh Mahfuz.”

  • Al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di Langit Dunia pada malam Lailatul Qadar dalam satu jumlah (sekali gus)
  • Al-Quran diturunkan melalui perantaraan Jibril a.s. kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur mengikut keperluan

Al-Quran merupakan mukjizat teragung buat umat manusia. Malah, Al-Quran merupakan mukjizat Nabi Muhammad SAW yang kekal sehingga ke hari kiamat. Ayat Al-Quran pertama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibril a.s. ialah ayat satu hingga lima surah Al-Alaq.

Maksudnya: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah – yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan – Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Wahyu yang pertama ini diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ketika baginda sedang menyendiri di Gua Hira. Sejak itu, kitab suci Al-Quran terus menjadi petunjuk kepada umat manusia setelah kewafatan baginda. Kitab Al-Quran sentiasa dipelihara oleh Allah SWT sehingga ke hari kiamat.

Daripada Ibnu Mas’ud, Rasullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah (Al-Quran), maka baginya satu kebajikan dan kebajikan itu digandakan sepuluh. Aku tidak bermaksud (Alif Lam Mim) itu satu huruf, akan tetapi Alif itu satu huruf, Lam itu satu huruf dan Mim itu satu huruf.” (hadis riwayat At-Tarmidzi)

Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, umat Islam adalah digalakkan memperbanyakkan bacaan Al-Quran. Bacalah Al-Quran dengan tertib dan hukum tajwid yang betul. Sebagai seorang muslim, kehidupan kita haruslah berpandukan Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad yang kita sayangi.