Sejarah busana tradisional Baju Melayu

Budaya Chan Abdullah 25-Mei-2020
Busana tradisional Baju Melayu © Ravindran Smith | Dreamstime.com

Baju Melayu merupakan pakaian kebangsaan bagi kaum lelaki di Malaysia. Busana ini selalu dipakai ketika majlis-majlis keagamaan dan majlis rasmi. Pakaian ini kebiasannya dilengkapi dengan kain sampin dan juga songkok.

Baju Melayu asalnya hanya mempunyai dua jenis iaitu baju Cekak Musang dan baju Teluk Belanga. Namun, kini pelbagai variasi rekaan baju Melayu telah dihasilkan. Ada juga rekaan baju Melayu yang menggabungkan rekaan pakaian kaum Cina iaitu Samfoo.

Asasnya baju Melayu ini mempunyai dua bahagian iaitu baju dan seluar. Baju Melayu lengan panjang dan mempunyai dua poket. Satu poket di sebelah kiri atas dan dua poket masing-masing di sebelah kiri dan kanan bahagian bawah baju Melayu. Labuh seluar pula kebiasannya sehingga ke buku lali pemakai.

Pemakaian baju Melayu telah diperkenalkan oleh Sultan Melaka yang ketiga iaitu Sultan Muhammad Shah. Baju Melayu Teluk Belanga atau baju Kurung Johor mula diperkenalkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar. Ketika itu  Almarhum bersemayam di Teluk Belanga, Singapura. Almarhum Sultan kemudiannya berpindah ke Tanjung Puteri pada tahun 1866 (kini dikenali sebagai Johor Bahru).

Almarhum menetapkan supaya baju lelaki labuhnya sehingga kebawah punggung dengan leher yang berlapik lebar dan berpoket dua. Baju kurung perempuan pula labuhnya hingga bawah lutut dengan alas lehernya lebih halus dan tidak mempunyai poket.

Terdapat pelbagai jenis sulaman yang dipadankan pada bahagian leher. Antaranya seperti Mata Lalat, Tulang Belut dan juga Insang Pari. Semasa pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar, pakaian tersebut telah diubah mengikut cadangan Allahyarham Jaafar bin Haji Muhammad, Menteri Besar Johor yang pertama.

Poket baju Melayu telah ditambah menjadi tiga dan alas lehernya menjadi lebih halus seperti baju kurung perempuan. Satu poket telah diperkenalkan kepada baju kurung perempuan.

Baju Melayu ini kebiasaannya datang dengan pelbagai warna dan pilihan jenis kain. Bergantung kepada kualiti kain, harganya akan jadi berbeza. Pada zaman sekarang, rekaan baju Melayu juga semakin moden. Malah ada juga rekaan menggunakan fabrik yang bercorak dan bercetak.

Pemakaian busana Melayu yang sudah bermula sejak tahun 1430 Masihi ini membuktikan yang adat dan tradisi Melayu itu masih gah bertahan dengan peredaran zaman.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!