Sejarah kalendar Islam atau Takwim Hijrah

Budaya Abi Aasim 06-Mei-2020
Takwim Hijrah 1441 © Slarshina | Dreamstime.com

Muharam, Safar, Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Jamadil Awal, Jamadil Akhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah, Zulhijah. Ini ialah bulan-bulan yang terkandung di dalam kalendar atau takwim Islam.

Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah, ayat 36: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)…”

Nama-nama bulan dalam Takwim Hijrah adalah berdasarkan nama-nama bulan dalam masyarakat Arab. Cuma di dalam budaya orang Arab, mereka tidak ada ketetapan bilangan tahun. Perkiraan hanya mengikut bulan seperti Safar, Rejab dan Rabiul Awal yang berlaku sekian lama secara berterusan.

Setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengajar dan menegaskan bahawa penting untuk memiliki penanda tarikh. Tetapi waktu itu masih belum lagi diwujudkan sistem bilangan tahun. Kalendar Islam atau takwim hijrah yang digunakan sekarang hanya dimulakan sewaktu zaman pemerintahan Khulafa’ Saidina Umar Al-Khattab r.a. Ketika itu Islam sudah berkembang ke serata wilayah.

Pada satu masa, Saidina Umar r.a. telah menghantar surat kepada gabenor di Basrah. Beliau menerima balasan daripada gabenor tersebut. Salah satu ungkapan di dalam balasan surat tersebut ialah gabenor Basrah tidak pasti surat dihantar pada Syaaban tahun tersebut atau tahun sebelumnya.

Melihat kepada perkara ini, Saidina Umar r.a. sedar perlunya ada sebuah kalendar Islam yang disusun dengan tahun. Ini adalah supaya pentadbiran negara akan lebih tersusun. Maka, Saidina Umar telah melakukan perbincangan dengan beberapa sahabat yang lain.

Hasil perbincangan tersebut, pelbagai pendapat dan pandangan yang berbeza telah dicadangkan. Antaranya ialah tarikh Rasulullah SAW dilahirkan dan juga tarikh kerasulan Baginda. Akhirnya, Saidina Umar r.a. bersama Saidina Uthman Affan r.a. dan Saidina Ali Abu Talib r.a. telah bersetuju untuk memulakan kalendar Islam dari tarikh hijrah, atau penghijrahan Rasulullah dari kota Mekah ke kota Madinah.

Hal ini dipersetujui kerana tarikh hijrah adalah sangat diketahui dan terkenal, maka tidak ada perselisihan dalam kalangan sahabat. Kesemua sahabat bersepakat memulakan awal bulan dengan bulan Muharam, dan memulakan permulaan tahun dengan Hijrah Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah ke Madinah.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk tahu dan terus menggunakan sistem Takwim Hijrah. Bukanlah bermaksud kita harus tinggalkan terus kalendar moden Gregorian atau Masihi yang kita gunakan, namun jangan sesekali kita lupakan Takwim Hijrah yang telah diasaskan oleh tokoh Islam yang terbilang ini.