Sejarah kemerdekaan Malaysia

Kehidupan Abi Aasim 01-Sep-2020
dreamstime_s_67214731
Muzium Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Melaka © Eq Roy | Dreamstime.com

‘Tanggal tiga puluh satu bulan lapan lima puluh tujuh, merdeka, merdeka, tetaplah merdeka, ia pasti menjadi sejarah’.

Lirik lagu Allahyarham Sudirman Haji Arshad ini pastinya sinonim dengan sambutan hari kemerdekaan Malaysia. Hari Kebangsaan Malaysia disambut di seluruh negeri pada setiap 31 Ogos setiap tahun bagi menandakan negara bebas daripada belenggu penjajahan sejak 1511 hingga tahun 1957.

Dari penaklukan Kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511 ke tangan Portugis, Tanah Melayu terus ditakluki oleh penjajahan bangsa dan negara asing sehingga tahun 1957. Belanda mengambil alih penjjahan Portugis pada tahun 1647 dan sterusnya British pula memegang kekuasaan di Tanah Melayu pada tahun 1824 melalui Perjanjian Inggeris-Belanda.

Kedatangan British semakin menyemarakkan rasa kebencian terhadap penjajahan mereka. Tindakan British yang mencampuri urusan pentadbiran yang dahulunya diuruskan oleh Raja-Raja Melayu dan pembesar negeri telah mendatangkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk tempatan. Melalui penjajahan British ini, lahirlah tokoh-tokoh pejuang tempatan di setiap negeri seperti Tok Janggut, Dol Said, Rosli Dhoby, Rentap, Datuk Maharajalela dan lain-lain yang menentang penjajahan dan campurtangan British ini.

Pada era 1920 dan 1930-an, kesedaran politik dan peningkatan ilmuwan yang tinggi telah menyemarakkan semangat nasionalisme dalam negara. Golongan cerdik pandai yang lahir dari pendidikan di Timur Tengah dan tempatan ini telah memanfaatkan media cetak seperti akhbar untuk menyebarkan semangat nasionalisme dan ideologi masing-masing. Pada zaman ini jugalah lahirnya beberapa kesatuan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang mendokong wawasan untuk menubuhkan kerajaan sendiri dan mengusir penjajah dari tanah air.

Namun usaha ini sedikit terbatas apabila kemaraan pihak Jepun pada penghujung tahun 1941 mengubah senario politik negara. Kemaraan Jepun sebagai sebuah kuasa baru, menyebabkan corak pentadbiran juga turut berubah. Tanah Melayu terus dijajah Jepun sehingga 1945. Jepun telah menyerah kalah kepada British setelah Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom.

Susulan perunduran Jepun, Parti Komunis Malaya (PKM) mengambil kesempatan cuba merampas pentadbiran Tanah Melayu ketika itu. Serangan demi serangan dan kekerasan dijalankan oleh PKM. Kemuncaknya apabila tiga pengurus ladang dari Eropah mati dibunuh di Sungai Siput, Perak, British melancarkan darurat pada 1948.

Sebelum itu juga British telah menjadikan Tanah Melayu sebagai Malayan Union pada 1946. Namun gagasan Malayan Union ini mendapat tentangan yang kuat daripada penduduk tempatan keran penghapusan institusi Raja-Raja Melayu dan juga hak keistimewaan orang Melayu.

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, bapa Kemerdekaan Malaysia telah membuka jalan untuk penubuhan negara Malaysia yang berdaulat. Tunku Abdul Rahman telah menubuhkan Parti Perikatan pada tahun 1952 telah mula membuka mata pihak British.

Perjanjian London yang telah ditandatangani pada tahun 1956 akhirnya membawa perkhabaran gembira mengenai kemerdekaan Tanah Melayu. Tunku telah membuat pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Padang Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956.

Pada tarikh keramat 31 Ogos 1957, akhirnya Tenah Melayu telah diisytiharkan merdeka dari sebarang penjajahan asing. Pada 16 September 1963 Singapura, Sabah dan Sarawak telah menyertai Persekutuan Tanah Melayu dan membentuk sebuah negara yang diberi nama Malaysia.

Singapura telah keluar dari Malaysia pada 1965. Kini setelah 63 tahun, Malaysia bebas merdeka. Semoga negara Malaysia kekal berdaulat dan harmoni. Kemerdekaan yang diwarisi haruslah disyukuri dan dijaga dengan penuh lestari.