Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Sejarah penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Pendidikan 08 Feb 2021
Terkini
Sejarah Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Sejarah Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia © Aisyaqilumar | Dreamstime.com

Siapa sahaja yang tidak mengenali Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau IIUM. Universiti ini merupakan antara universiti ternama di Malaysia dan juga di dunia Islam. Namun, tidak ramai yang mengetahui sejarah asal penubuhannya.

Berikut adalah sedikit sebanyak penerangan sejarah universiti ini.

Idea penubuhan UIAM dan pengambilan pelajar pertama

Idea bagi penubuhan sebuah universiti Islam di Malaysia ini dicetuskan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Idea tersebut mula dibentangkan pada tahun 1982, dan kertas cadangannya telah diluluskan oleh kabinet pada bulan Februari 1982.

Semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) ke-13 di Niger, mereka telah menyokong cadangan penubuhan universiti ini.

Pada bulan Mei 1983, beberapa negara telah bersetuju untuk membiayai secara bersama penubuhan universiti ini. Negara-negara tersebut ialah Bangladesh, Mesir, Libya, Maldives, Pakistan, Arab Saudi dan juga Turki.

Seramai 153 orang pelajar sulung Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah diambil pada sesi akademik pertama yang bermula pada bulan Julai 1983. Kumpulan pelajar pertama ini terdiri daripada rakyat Malaysia dan juga pelajar-pelajar antarabangsa.

Pada ketika itu, pelajar-pelajar ini hanya berada dalam empat buah fakulti iaitu Fakulti Ekonomi, Fakulti Undang-Undang, Pusat Pengetahuan Asas dan Pusat Bahasa. Kesemua mereka ini bergraduasi ada 10 Oktober 1987.

Kini punyai 5 buah kampus 

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bukan hanya memiliki kampus di Gombak, Selangor tetapi mempunyai empat kampus di lokasi lain. Kampus UIAM di Gombak adalah kampus utamanya dan ia mula dibuka secara rasmi pada bulan April 2001.

Selain itu, universiti ini juga mempunyai kampusnya di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang yang menempatkan beberapa fakulti berkaitan perubatan dan sains. Kampus di Gambang, Kuantan, Pahang pula dikenali sebagai Centre for Foundation Studies yang menempatkan pelajar-pelajar asasi mereka sahaja.

Selain itu juga, universiti ini juga mempunyai kampus di Jalan Duta, Kuala Lumpur yang dikenali sebagai International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC).

Kampus terbaharu mereka terletak di Pagoh, Johor yang merupakan sebahagian daripada Pagoh Edu Hub. Kampus di Pagoh ini telah dibuka pada tahun 2017 dan menempatkan Kuliyyah of Languages and Management.

Kecemerlangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Salah satu bidang kecemerlangan yang sangat dikenali dalam kalangan pelajar-pelajar universiti ini ialah perdebatan atau oratori. Mereka bukan sahaja jaguh di peringkat tempatan, malah di peringkat antarabangsa.

Pada tahun 2014, kumpulan debat Bahasa Inggeris daripada universiti ini berada di kedudukan ke-10 daripada keseluruhan 440 kumpulan yang bertanding dalam 35th World Universities Debating Championship.

Selain tu, kumpulan debat Bahasa Arab mereka juga sangat cemerlang dengan mendapat tempat ke-2 dalam World Universities Arabic Debating Championship. Antara bekas pendebat yang terhasil daripada kelab debat UIAM ialah bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kita mungkin sering mendengar nama universiti terhebat dunia seperti Universiti Oxford dan Universiti Cambridge. Namun, UIAM berada dalam kelasnya yang tersendiri.

UIAM dianggap sebagai salah satu daripada lima universiti penyelidikan Islam terunggul di dunia dan telah diiktiraf sebagai ‘The Premier International Islamic Research University’ oleh ICESCO (The Islamic Educational, Scientific and Cultural Organisation), yang bernaung di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).