Sejarah Penubuhan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Pendidikan 04 Mac 2021 Md Wa'iz
Md Wa'iz
Sejarah Penubuhan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Sejarah Penubuhan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) © usim.edu.my

Sebagai rakyat Malaysia, pernahkah anda mendengar kewujudan sebuah universiti Islam awam iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)?

Jika belum pernah, mari baca apa yang kami sediakan berkenaan sebuah universiti unik ini.

Universiti Sains Islam Malaysia: universiti awam ke-12 negara

Universiti Sains Islam Malaysia atau lebih dikenali dengan nama USIM adalah sebuah universiti awam ke-12 yang diwujudkan oleh Kerajaan Malaysia.

Walaupun namanya mungkin tidak begitu terkenal seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hakikatnya universiti ini memiliki keunikannya yang tersendiri. Untuk pengetahuan anda, universiti ini ditubuhkan dengan tujuan sebagai pusat pendidikan tinggi yang memfokuskan kepada gabungan ilmu Naqli dan juga Akli.

Keunikan inilah yang menjadikannya berdiri dengan gayanya yang tersendiri berbanding universiti Islam yang lain.

Sejarah ringkas penubuhan – KUIM

Sebelum institusi pendidikan ini mendapat status universiti, ia hanyalah sebuah kolej yang bernama Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM). Idea bagi penubuhan kolej universiti ini ialah daripada Menteri Pendidikan pada ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

KUIM diwartakan dan ditubuhkan pada 12 Mac 1998. Menariknya, sewaktu diwartakan, KUIM menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantarnya. KUIM mula beroperasi secara rasmi pada tahun 2000 dengan menumpang di Tingkat 5, bangunan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Selepas itu, KUIM berpindah ke bangunan Institut Profesional Baitulmal (IPB) yang terletak di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Pelajar sulungnya pada ketika itu adalah seramai 255 orang sahaja.

KUIM dinaiktaraf menjadi USIM

Disebabkan faktor pertambahan kakitangan dan juga para pelajar, KUIM berpindah sekali lagi pada tahun 2002 ke bangunan Menara MPAJ yang pada ketika itu dikenali sebagai Kampus Pandan Indah.

Pada tahun 2005, KUIM berpindah buat kali ketiga dan terakhir ke kampus tetapnya yang telah siap dibina di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan. Kini, hanya Fakulti Pergigian sahaja yang masih menetap di Kampus Pandan Indah, manakala fakulti-fakulti lain telah berpindah ke kampus utamanya.

Pada tahun 2007, KUIM telah mendapat status universiti penuh daripada Kerajaan Malaysia dan dinaiktaraf kepada Universiti Sains Islam Malaysia atau USIM.

Hanya guna bahasa Arab dan Inggeris

Tahukah anda, hanya pelajar yang mengambil subjek Bahasa Arab ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja yang layak ditawarkan tempat ke universiti ini.

Ini kerana, Universiti Sains Islam Malaysia hanya menggunakan bahasa Arab dan Inggeris sebagai bahasa pengantar utama universiti.

Jadi, boleh dikatakan kesemua pelajar USIM mengetahui bahasa Arab dan Inggeris dengan baik.

Kelab Debat USIM menyerlah

Adalah mengagumkan kerana salah satu bidang kecemerlangan pelajar USIM yang sering disebut-sebut ialah kehebatan mereka di arena perdebatan. Bukan hanya dalam debat bahasa Melayu, tetapi juga bahasa Inggeris dan juga Arab.

Salah satu kemuncak kehebatan pasukan debat USIM ialah apabila mereka dinobatkan sebagai Johan di The International Universities Arabic Debating Championships (IUADCs) di Qatar.

Mereka menewaskan pasukan debat bahasa Arab University of Calgary dari Kanada dalam kategori bukan penutur jati bahasa Arab. Malah, bagi anugerah pendebat terbaik, pendebat-pendebat USIM berada di kedudukan pertama dan kedua dalam pertandingan itu.

Sesungguhnya, kewujudan Universiti Sains Islam Malaysia berjaya melahirkan ramai mahasiswa dengan kemampuan yang unik. Mereka bukan sahaja cemerlang dalam bidang pengajian mereka, tetapi juga amalan agama dan penguasaan bahasa Arab.