Sejarah ringkas asal Azan

Budaya Abi Aasim 21-Mei-2020
Laungan azan pertama di kota suci Mekah © Ahmadx11 | Dreamstime.com

Akar perkataan ‘Azan’ atau adhan adalah ‘adhina’ yang bermaksud mendengar atau diberitahu tentang. Secara tradisi dalam budaya Islam, orang yang meneriakkan azan atau tukang bang itu dipanggil Muazin.

Azan adalah medium yang digunakan oleh umat Islam bagi memberitahu bahawa sudah masuknya waktu untuk menunaikan solat fardu.  Seruan azan mula berkumandang pada tahun pertama Hijrah.

Daripada Ibnu Umar r.a., ketika permulaan umat Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan solat. Ketika itu masih tiada siapa yang menyeru orang untuk bersolat (melaungkan azan).

Pada suatu hari, Rasulullah SAW telah mengumpulkan para sahabat untuk berbincang cara terbaik untuk menyeru umat Islam untuk menunaikan solat dan mengajak mereka berjemaah di masjid.

Ada sahabat yang menyarankan untuk membunyikan loceng seperti orang Nasrani, ada sahabat yang menyarankan untuk menggunakan trompet seperti orang Yahudi. Saidina Umar r.a. lalu berkata: Kenapa kamu tidak menyeru orang untuk bersolat?

Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Bilal, berdirilah dan serulah orang bersolat.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Pada satu malam, Abdullah bin Zaid r.a. telah bermimpi mengenai cara yang lebih baik untuk menyeru orang Islam menunaikan solat beramai-ramai iaitu dengan lafaz azan. Pada keesokan pagi, Abdullah bin Zaid telah menemui Rasulullah SAW dan menceritakan mimpi beliau kepada Baginda.

Baginda telah membenarkan mimpi tersebut. Baginda telah meminta Bilal untuk melaungkan azan tersebut. Saidina Umar r.a. mendengar azan yang dilaungkan Bilal dan menghampiri Rasulullah. Beliau menceritakan kepada Rasulullah bahawa beliau juga telah bermimpi seperti Abdullah bin Zaid.

Sejak peristiwa itu, umat Islam telah melafazkan seruan azan bagi menandakan masuknya waktu untuk solat fardu. Laungan pertama Azan dilaungkan ketika pembukaan kembali kota suci Mekah. Azan melambangkan kekuatan, kesepaduan dan kesucian Islam.

Muazin pertama dalam sejarah Islam ialah Bilal bin Rabah r.a. Beliau ialah seorang hamba yang telah dibebaskan, di mana bapanya adalah dari suku Bani Quraisy Mekah dan ibunya berasal dari Habsyah (sekarang Ethiopia/Eritrea).

Hukum azan ialah fardu kifayah kepada jemaah lelaki yang hendak menunaikan solat fardu dan solat Jumaat. Azan tidak dituntut untuk solat-solat sunat yang lain.

Sekiranya seorang lelaki menunaikan solat fardu secara bersendirian, hukum azan ke atasnya adalah sunat. Selain menjadi seruan untuk memanggil umat Islam mendirikan solat, azan juga dijadikan medium untuk mengusir syaitan.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila diseru untuk bersolat (azan) syaitan akan berundur ke belakang sambil kentut. Apabila sudah selesai iqamat, dia datang semula mengganggu (membisikkan) bisikan dan pelbagai lintasan dalam hati dan pemikiran seseorang sehingga dia  tidak tahu berap rakaat solatnya. Sesiapa yang terjadi demikian (tidak tahu bilangan solat) hendaklah dia sujud dua kali (sujud sahwi).” (HR Al-Nasa’i)

Azan ini merupakan suatu seruan kemenangan dan kejayaan bagi umat Islam. Marilah kita sama-sama menghayati makna lafaz azan dan menyahut seruan azan dan mendirikan solat mengikut ketetapan, pada awal waktu setiap hari.