Sejarah ringkas para mantan Perdana Menteri Malaysia

Kehidupan Chan Abdullah 02-Jul-2020
Para mantan Perdana Menteri Malaysia © Wong Fok Loy | Dreamstime.com

Negara Malaysia mengamalkan sistem pentadbiran Raja berperlembagaan. Dalam sistem ini, Perdana Menteri mengetuai pentadbiran negara di bawah naungan kuasa Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong. Perdana Menteri dilantik secara rasmi oleh Yang Di Pertuan Agong.

Sejak pembentukan Malaysia, negara ini  sudah mempunyai lapan orang Perdana Menteri. Sejak kemerdekaan Perdana Menteri telah datang daripada parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Namun pada 2018, sejarah baru telah berlaku, apabila Perdana Menteri Malaysia dilantik daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Berikut merupakan sejarah ringkas Perdana Menteri Malaysia dari yang pertama hingga yang terkini:

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Beliau adalah Perdana Menteri Malaysia (Tanah Melayu) yang pertama. Beliau juga digelar sebagai Bapa Kemerdekaan negara kerana usaha beliau mendapatkan kemerdekaan Malaysia dari tangan British secara aman. Beliau telah menjadi Perdana Menteri dari 31 Ogos 1957 hingga 22 September 1970.

Tun Abdul Razak bin Dato’ Haji Hussein

Beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Beliau juga digelar sebagai Bapa Pembangunan Malaysia. Tun Abdul Razak memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Malaysia. Beliau juga merupakan pengasas Barisan Nasional, iaitu parti komponen terkuat dalam sejarah politik Malaysia pada masa itu. Beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari 22 September 1970 hingga 14 Januari 1976.

Tun Hussein bin Dato’ Haji Sir Onn

Beliau ialah Perdana Menteri Malaysia yang ketiga. Beliau digelar sebagai Bapa Perpaduan Malaysia. Beliau dilihat sebagai seorang yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum. Beliau tidak gentar bertindak keras kepada sesiapa yang mencuba membangkitkan kekacauan perkauman di dalam negara. Beliau telah berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari 15 Januari 1976 hingga 16 Julai 1981.

Tun Dr. Mahathir bin Mohamad

Beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat dan ketujuh. Beliau digelar sebagai Bapa Pemodenan negara. Antara sumbangan beliau yang sering diingati ialah pembinaan jambatan Pulau Pinang, kereta Proton Saga, Putrajaya dan Menara Berkembar Petronas. Tempoh kali pertama beliau menjadi Perdana Menteri ialah selama 22 tahun. Tempoh kali kedua beliau menjadi Perdana Menteri ialah selama 22 bulan.

Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi

Beliau ialah Perdana Menteri Malaysia yang kelima. Beliau digelar sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan Malaysia. Beliau berkhidmat dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009. Lebih mesra dengan panggilan Pak Lah, beliau giat membersihkan kerajaan daripada gejala rasuah.

Dato’ Seri Mohamad Najib bin Tun Abdul Razak

Beliau adalah Perdana Menteri Malaysia yang keenam. Beliau dikenali sebagai Bapa Transformasi Malaysia. Beliau menyambung legasi ayahnya Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri. Beliau berkhidmat dari 3 April 2009 hingga 9 Mei 2018.

Seperti yang kita semua ketahui, Tan Sri Dato’ (Dr) Haji Muhyiddin bin Haji Muhammad Yassin adalah Perdana Menteri kita kini. Beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kelapan. Situasi perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri adalah unik dan pertama kali terjadi di Malaysia. Beliau juga merupakan satu-satunya Perdana Menteri yang tidak mempunyai Timbalan Perdana Menteri.

Sumbangan semua Perdana Menteri Malaysia ini memang besar dan tinggi nilainya. Berkat usaha dan pengorbanan mereka dalam mentadbir negara, Malaysia sudah makin maju dan berdaya saing di peringkat global.  Terima kasih kepada semua para Perdana Menteri Malaysia!

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!