Sejarah ringkas Perang Badar

Kepercayaan Abi Aasim 11-Mei-2020
Masjid Al-Areesh, tapak khemah Nabi SAW sewaktu Perang Badar © Shahid Aziz - Dreamstime.com

Perang Badar yang meletus pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah (17 Mac 624 Masihi) adalah peperangan besar pertama antara umat Islam dan juga kaum Musyrikin Mekah. Perang ini sangat menguji keimanan umat Islam Muhajirin dan Ansar. Peperangan ini telah berlangsung dalam bulan Ramadan. Peperangan ini juga adalah peperangan menguji keimanan terutamanya bagi kaum Ansar yang baru memeluk Islam pada ketika itu.

Ketika Perang Badar, jumlah anggota tentera umat Islam adalah sebanyak 313 orang sahaja. Mereka perlu berdepan dengan tentera kafir Quraisy yang berjumlah 1000 orang. Sebelum peperangan, Nabi Muhammad SAW telah memberikan motivasi kepada askar-askar Islam.

Baginda SAW bersabda: “Demi Tuhan yang jiwaku di dalam genggaman-Nya, sesiapa yang memerangi mereka (tentera orang musyrik) pada hari ini, kemudian dia terbunuh dalam keadaan penuh kesabaran dan ikhlas, terus maju dan tidak lari dari medan pertempuran, pasti Allah akan memasukkannya ke dalam syurga.” Kemudian Baginda memohon doa: “Ya Allah, aku menagih janji dan jaminan-Mu. Ya Allah, jika Kamu binasakan kelompok ini (pejuang-pejuang mukmin), Kamu tidak akan disembah lagi di muka bumi.”

Peperangan telah meletus dengan hebatnya. Tentera-tentera Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW telah dibantu Allah SWT. Ramai pemimpin tentera musyrik telah terbunuh. Antaranya ialah pemimpin utama mereka, Abu Jahal iaitu salah seorang ayah saudara Nabi yang menyayangi Baginda. Namun Abu Jahal tidak dapat menerima ajaran Islam Rasulullah SAW dan telah memerangi Baginda dengan sekeras-kerasnya.

Kematian Abu Jahal sedikit sebanyak telah melemahkan semangat tentera Musyrikin Mekah dan akhirnya mereka tewas di tangan tentera Islam. Walaupun tentera musyrikin adalah musuh, Rasulullah SAW telah mengarahkan tentera Islam untuk mengebumikan mayat mereka. Setelah kemenangan tentera Islam, Baginda dan tentera-tentera Islam berangkat pulang ke Madinah. Mereka ke Madinah bersama kira-kira 70 tawanan perang.

Setelah sampai di Madinah, Nabi telah berbincang bersama para sahabat akan tindakan yang patut diambil ke atas tawanan perang. Saidina Umar Al-Khattab r.a. mencadangkan semua tawanan perang dibunuh. Saidina Abu Bakar r.a. pula mencadangkan agar tawaran perang ini menebus diri mereka. Nabi SAW telah bersetuju dengan cadangan Abu Bakar, dan akhirnya semua tawanan perang dibebaskan setelah mereka menebus diri mereka.

Kemenangan ini telah menguatkan lagi kedudukan Islam di Madinah, dan Islam telah mula disegani oleh kabilah-kabilah, digeruni oleh orang Yahudi dan munafiqin Madinah. Tawanan perang yang dibebaskan pula telah bercerita kepada kaum mereka akan kebaikan dan kemuliaan orang Islam. Kemenangan tentera Islam di dalam Perang Badar ini telah menjadi titik tolak berkembangnya tamadun Islam ke serata dunia. Pengorbanan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat untuk menegakkan syiar Islam haruslah terus kita kenang dan hargai.