Selain hadis Qudsi, apa lagi jenis hadis yang perlu diketahui?

Islam untuk Pemula Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Selain hadis Qudsi, apa lagi jenis hadis yang perlu diketahui?
Selain hadis Qudsi, apa lagi jenis hadis yang perlu diketahui? © facebook.com/islamicbookrepublic

Hadis, atau catatan tentang tradisi dan ucapan Nabi Muhammad SAW diterima sebagai sumber utama hukum agama dan panduan moral, kedua terpenting setelah kitab suci al-Quran. Tahukah anda, selain istilah hadis Qudsi dan hadis Nabawi, terdapat beberapa lagi jenis pengelasan hadis.

Pengelasan hadis ini adalah berdasarkan kriteria hadis tersebut.

Selain hadis Qudsi, apa lagi jenis hadis yang perlu diketahui?

Selain hadis Qudsi, ada beberapa jenis hadis yang mungkin kita tidak pernah dengar sebelum ini atau ia agak asing bagi kita yang tidak menguasai ilmu hadis. Berikut adalah jenis hadis yang perlu anda tahu.

Hadis Sahih

Hadis Sahih ialah hadis-hadis yang tidak diragui teksnya dan juga perawinya. Ia adalah jenis hadis yang memenuhi kesemua kriteria untuk diterima sebagai hadis yang boleh diamalkan.

Kriteria hadis sahih ialah sanad perawinya bersambung, diriwayatkan oleh perawi hadis yang adil iaitu dipercayai serta kuat ingatannya. Hadis tersebut juga tidak mempunyai sebarang keganjilan dengan hadis lain. Ia juga tidak mempunyai kecacatan dengan hadis-hadis lain yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih thiqah.

Hadis Hasan

Hadis Hasan pula adalah jenis hadis yang memenuhi hampir kesemua kriteria hadis Sahih. Namun, perawi hadisnya dikategorikan sebagai kurang kuat ingatannya atau kurang dhabit.

Hukum beramal dengan hadis Hasan ialah dibenarkan dan ia juga boleh dijadikan sebagai hujah.

Hadis Mutawatir

Hadis Mutawatir adalah jenis hadis yang diriwayatkan oleh ramai perawi hadis di setiap lapisan perawinya. Keadaan ini menjadikan hadis ini mustahil mengalami kesilapan dan juga pendustaan.

Jenis hadis Mutawatir ini boleh diterima dan tidak perlu dikaji perawinya.

Hadis Ahad

Hadis Ahad adalah hadis-hadis yang tidak memenuhi syarat-syarat hadis Mutawatir. Ini adalah kerana hadis Ahad hanya diriwayatkan oleh seorang atau dua orang perawi sahaja.

Hadis Ahad ini boleh dikategorikan kepada tiga jenis kelas hadis berdasarkan jumlah perawinya iaitu hadis Masyhur, hadis Aziz dan hadis Gharib.

  • Masyhur: hadis Masyhur yang diriwayatkan oleh tiga orang perawi atau lebih
  • Aziz: hadis Aziz yang diriwayatkan oleh dua orang perawi
  • Gharib: hadis Gharib yang diriwayatkan oleh seorang perawi hadis sahaja

Ada hadis Ahad yang boleh diterima dan tidak boleh diterima. Jehis hadis Ahad yang diterima disebut sebagai Maqbul. Manakala yang tidak diterima disebut sebagai Mardud.

Hadis yang Maqbul adalah kerana kekuatan perawinya dan boleh dijadikan hujah atau dalil. Dan hadis Mardud pula tidak boleh digunakan sebagai dalil kerana perawinya yang tidak kuat.

Hadis Daif

Hadis Daif pula adalah jenis hadis yang lemah daripada pelbagai kriteria untuk menjadi hadis Sahih. Jenis hadis ini tidak boleh dijadikan sumber rujukan untuk menentukan hukum.

Namun, ia boleh digunakan bagi tujuan fadhail a’mal atau melibatkan perkara-perkara yang baik dan bermanfaat.

Hadis Maudhuk

Hadis Maudhuk pula adalah jenis hadis yang diriwayatkan oleh para perawi yang mendustakan hadis tersebut dengan mengatakan ia disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW.

Dengan kata lain, hadis Maudhuk ini ialah hadis palsu.

Kepentingan mengetahui jenis-jenis hadis

Adalah penting untuk kita mengetahui mengenai jenis hadis seperti ini. Sekurang-kurangnya, kita mengetahui jika hadis tersebut boleh diamalkan atau tidak berdasarkan jenis hadis.

Kita mungkin biasa mendengar mengenai hadis Sahih atau hadis Qudsi, namun tidak pernah mendengar istilah seperti hadis Ahad dan hadis Maudhuk.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.