Selain Hari Raya Aidilfitri, apa lagi peristiwa penting yang berlaku ketika Syawal?

Sejarah Md Wa'iz
Terkini oleh Md Wa'iz
Selain Hari Raya Aidilfitri, apa lagi peristiwa penting yang berlaku ketika Syawal?
Selain Hari Raya Aidilfitri, apa lagi peristiwa penting yang berlaku ketika Syawal? © Anatoly Fedotov | Dreamstime.com

Bulan Syawal lebih sinonim dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Tetapi adakah anda tahu, terdapat beberapa peristiwa atau sejarah penting Islam yang juga berlaku dalam bulan Syawal?

Bolehkah anda meneka apakah peristiwa tersebut?

Perang Uhud berlaku di bulan Syawal

Mungkin ada yang telah terlupa bahawa Perang Uhud sebenarnya berlaku dalam bulan Syawal. Perang Uhud telah berlangsung pada 15 Syawal tahun ketiga Hijrah.

Peperangan Uhud adalah peristiwa pahit bagi umat Islam. Ini kerana umat Islam menemui kekalahan disebabkan pelanggaran perintah Rasulullah SAW untuk tidak meninggalkan posisi masing-masing ketika peperangan berlangsung.

Selain itu, seramai 70 orang umat Islam telah mati syahid termasuklah bapa saudara Nabi Muhammad SAW sendiri iaitu Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib r.a.

Syawal dan Perang Khandak 

Selain daripada Perang Uhud, salah satu pertempuran yang terkenal dalam sejarah Islam iaitu Peperangan Khandak juga berlaku dalam bulan Syawal. Peperangan Khandak mengambil nama sempena sebuah parit besar yang digali oleh orang Islam sebagai salah satu strategi peperangan.

Teknik penggalian parit atau ‘Khandak’ ini adalah teknik peperangan yang baharu dalam kalangan orang Arab pada ketika itu. Ketika Peperangan Khandak, tiada pertempuran besar yang berlaku. Namun, enam orang Islam telah mati syahid sepanjang peperangan ini berlangsung.

Perang Taif berlaku ketika Syawal

Peperangan Taif berlaku dalam bulan Syawal iaitu pada tahun ke-8 Hijrah. Perang ini berlaku selepas Suku Hawazin melarikan diri daripada Peperangan Hunain dan berlindung di Kota Taif. Rasulullah SAW telah mengepung Kota Taif selama 20 malam.

Dalam peperangan ini juga, umat Islam buat pertama kalinya menggunakan sejenis senjata yang bernama Manjanik iaitu sejenis lastik pelontar batu untuk memecahkan benteng kota. Selain itu, umat Islam juga menggunakan sejenis alat bernama Dabbabah yang digunakan untuk memecahkan pintu kota tersebut.

Imam Bukhari dilahirkan

Imam Bukhari iaitu salah seorang ulama besar hadis telah dilahirkan pada bulan Syawal. Beliau dilahirkan pada 13 Syawal tahun 194 Hijrah. Imam Bukhari dilahirkan di Bukhara yang pada ketika itu merupakan wilayah di bawah kekuasaan Khalifah Abbasiyah.

Beliau juga telah meninggal dunia pada bulan Syawal iaitu pada 1 Syawal tahun 256 Hijrah di Samarkand.

Ada beberapa peristiwa lain yang berlaku dalam bulan ini

Selain daripada peristiwa-peristiwa yang dinyatakan ini, ada beberapa lagi peristiwa lain yang telah berlaku dalam bulan Syawal. Antaranya ialah Perang Bani Qainuqa, Peperangan Hunain, Perang Bani Sulaim dan kelahiran Abdullah Bin Zubair.

Kini kita telah mengetahui bahawa Syawal bukan hanya bulan Hari Raya Aidilfitri, tetapi ia juga bulan untuk kita mengingati sejarah Islam.