Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Selain rezeki halal, sifat integriti adalah penting dalam pekerjaan

Masyarakat 01 Jan 2021
Terkini oleh Md Wa'iz
Selain rezeki halal, sifat integriti adalah penting dalam pekerjaan
Selain rezeki halal, sifat integriti adalah penting dalam pekerjaan © Sarawut Nirothon | Dreamstime.com

Apabila seseorang itu menganggap tugas pekerjaannya sebagai satu ibadah, maka sikap integriti itu akan terbentuk. Sifat integriti adalah penting dalam pekerjaan. Namun, apakah sebenarnya kepentingan integriti sewaktu bekerja?

Melalui portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, integriti memberi makna ‘Kejujuran atau ketelusan dalam melakukan tanggungjawab yang diamanahkan’.

Integriti berkait rapat dengan perkara berkenaan etika pekerja serta nilai-nilai murni yang perlu diamalkan oleh seseorang individu tersebut.

Sifat integriti adalah penting dalam pekerjaan

Setiap daripada kita, pasti ditugaskan dengan sesuatu tugas atau amanah yang perlu diselesaikan. Setiap tugas tersebut mestilah dilakukan dengan tepat, amanah dan juga telus.

Ini kerana, setiap tugas yang diberikan kepada kita, pasti akan mempunyai kesannya kepada orang lain, bergantung kepada cara kita melaksanakan tugas tersebut. Oleh sebab itu, sifat integriti amatlah penting dalam menjalankan tanggungjawab yang diberikan.

Antara kepentingan sikap integriti ialah:

  • Menghindari unsur-unsur rasuah daripada berlaku
  • Mengelak isu-isu penyelewengan terutamanya dalam urusan melibatkan orang awam
  • Mencegah salah guna kuasa
  • Memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan

Halangan utama dalam menegakkan integriti

Mewujudkan sikap integriti dalam diri dan juga organiasi bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana, terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi dalam persekitaran pekerjaan kita.

Antara cabaran-cabaran yang sering menggoyahkan sikap integriti kita ialah:

  • Cubaan meminta dan menerima rasuah
  • Perbuatan khianat terhadap hak orang lain
  • Kerenah birokrasi yang menyukarkan urusan sehingga menyebabkan ketirisan
  • Wujud penipuan dalam urusan yang dijalankan
  • Penangguhan tugas kerja yang diberikan sehingga menyukarkan orang lain
  • Melepak atau membuang masa

Kesemua perkara-perkara ini adalah antara perkara yang sering menyebabkan sifat integriti itu semakin berkurangan.

Apakah kesan tidak berintegriti dalam pekerjaan?

Apabila seseorang itu terlibat dengan amalan rasuah, maka wang gaji hasil perbuatan tersebut adalah haram. Setiap rezeki yang diterima adalah haram kerana ia datang daripada sumber rasuah yang jelas pengharamannya.

Rezeki yang haram akan menyebabkan doa dan ibadat seseorang itu ditolak oleh Allah SWT. Selain itu, mereka yang tidak berintegriti juga tidak mendapat keberkatan dalam hidupnya.

Dengan itu, dia akan sering mengalami kesusahan dan ditimpa bencana dalam kehidupannya.

Integriti dan mencontohi Rasulullah SAW

Tahukah anda mengapa Nabi Muhammad SAW digelar sebagai ‘Al-Amin’? Ini kerana baginda mempunyai empat sifat yang terpuji iaitu benar, amanah, tabligh, dan bijaksana.

Rasulullah SAW mendapat gelaran tersebut daripada masyarakat di sekelilingnya disebabkan sifat integritinya yang tinggi. Baginda tidak pernah berbohong dan memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan baik.

Nabi Muhammad SAW juga pernah cuba dirasuah oleh Abu Jahal dengan pelbagai tawaran menarik agar menghentikan penyebaran Islam. Namun, Baginda menolak tawaran jahat Abu Jahal tersebut.

Ia jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam amalan integriti ketika bekerja.