Selesaikan hutang, tunaikan amanah

Kehidupan Hanita Hassan 09-Jun-2020
Selesaikan hutang jika berhutang © Robyn Mackenzie | Dreamstime.com

Setiap daripada kita tidak lari daripada melakukan hutang.  Ini termasuklah hutang rumah, hutang kereta, hutang pendidikan, hutang peribadi dan sebagainya.  Hutang merupakan satu bentuk perjanjian antara pemiutang dan penghutang yang telah diperintahkan oleh Allah SWT agar dipatuhi dan dipenuhi.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:  “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”  (Surah Al-Maidah, ayat 1)

Lafaz perintah dalam ayat ini agar memenuhi setiap perjanjian yang dibuat adalah berbentuk mutlak dan umum mencakupi perjanjian sesama Muslim atau dengan bukan-Muslim.  Mematuhi perjanjian juga merupakan antara sifat seorang mukmin yang sejati.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud: “(Orang mumin itu ialah) yang menunaikan amanah dan perjanjian mereka.”  (Surah Al-Mukminun, ayat 8)

Hutang dalam Islam adalah perkara yang mustahak. Hutang akan menyebabkan kita  terhalang daripada memasuki syurga.  Ini terjadi apabila kita tidak membayar balik hutang sama ada kerana tidak mampu atau enggan atau disebabkan masalah lain.

Pandemik COVID-19 telah melumpuhkan ekonomi banyak individu dan syarikat berjenama besar.  Ramai yang menghadapi masalah aliran tunai disebabkan terputus pendapatan selain tidak mempunyai dana kecemasan untuk melunaskan hutang bulanan.

Inisiatif sistem moratorium yang menawarkan penangguhan pembayaran pinjaman selama enam bulan dilihat membantu mereka yang berdepan masalah kewangan.  Penangguhan ini  dapat meringankan beban peminjam dan mengurangkan komitmen bulanan mereka. Dalam masa yang sama membolehkan peminjam membina dana kecemasan bagi kegunaan pada masa hadapan.

Pakar ekonomi menjangkakan tahun 2020 bakal menjadi tahun kemelesetan ekonomi yang paling teruk dalam sejarah berbanding kesan semasa Perang Dunia ke-2.   Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan tiada satu pun negara di dunia yang dapat pulih pada tahun ini.

Kemelesetan ekonomi dunia akan menyebabkan sifar peluang pekerjaan, peningkatan inflasi yang mendadak dengan nilai mata wang jatuh ke paras yang tidak dapat digambarkan.  Justeru, kita hendaklah mengurus normal baharu supaya masa enam bulan ini dapat memberi peluang untuk kita terlibat mencari pendapatan baharu, bagi membayar hutang dan menampung keperluan kehidupan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Sesiapa yang meminjam harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan menunaikan niatnya itu.  Namun, sesiapa meminjam dengan niat akan merugikannya (dengan tidak membayar), maka Allah akan merugikannya.”  (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Kita hendaklah mengisytiharkan hutang kita sama ada hutang dengan Allah SWT atau hutang dengan manusia. Dengan cara ini apabila kita meninggal dunia, pewaris yang mengetahui mengenainya wajib melunaskan hutang tersebut.