Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Semakan semula kadar pos komersial pada 1 Februari

Perniagaan Adea Ghafar 28-Jan-2020
Pos Malaysia
Pos Malaysia © Tktktk | Dreamstime.com

Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan melaksanakan semakan semula kadar pos komersial berkuatkuasa 1 Februari 2020. Kali terakhir semakan semula kadar pos dilakukan adalah pada 2010. Langkah ini seiring dengan peningkatan kos operasi dan peningkatan struktur kadar antarabangsa oleh Kesatuan Pos Sedunia (UPU). Ia akan mengubah landskap industri pos global dan menggalakkan Pos Malaysia mengubah sistem pos untuk mencapai kecekapan yang lebih tinggi.

Pos Malaysia berkata, ia akan terus menawarkan kadar pos yang berpatutan kepada pengguna mel individu dan pelanggan bukan komersil dengan kadar setem semasa berharga 60 sen. Kadar setem komersial akan meningkat sebanyak 70 sen kepada RM1.30 dan mel berdaftar komersil meningkat 90 sen kepada RM3.10.

Kadar pos baharu ini hanya melibatkan mel berdaftar, mel komersial dan bungkusan kecil bawah dua kilogram. Pengguna mel komersil menyumbang 95% daripada semua pengguna mel Pos Malaysia dan hanya 5% terdiri daripada pengguna mel individu. Para pelanggan komersial daripada sektor perbankan, telekomunikasi dan peruncitan menyokong kadar pos baharu yang berpatutan dan hanya memberi sedikit impak kepada perniagaan mereka.

Menurut Syed Md Najib Syed Md Noor, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Pos Malaysia Berhad, kadar baharu pos ini akan membolehkan syarikat mengendalikan kos dengan lebih berkesan untuk menyediakan perkhidmatan kepada lebih sembilan juta alamat di seluruh negara di bawah Obligasi Perkhidmatan Sejagat (USO). Ini juga dapat menyelaraskan pertumbuhan ekonomi digital syarikat melalui penerapan inovasi dalam meningkatkan kepuasan pelanggan serta kecekapan perkhidmatan.

Pos Malaysia juga akan terus melabur dalam infrastruktur digital dan e-Dagang, sebahagian daripada agenda transformasi Pos Malaysia sebagai penyedia perkhidmatan pos terbesar negara. Digitalisasi adalah penting untuk memacu perniagaan dan ini jelas dilihat dengan peningkatan lebih 100% penggunaan telefon pintar dalam negara.

Syed Md Najib berkata, tahun ini sektor e-Dagang di Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan sebanyak 30% dan Pos Malaysia perlu menambah kemajuan teknologi terkini untuk memimpin pasaran ke arah menjadi pusat e-Dagang negara.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!