Semalam Adalah Kenangan, Hari Ini Adalah Kurniaan, Esok Adalah Masa Depan

Sahsiah Nor Syariza Tahir 05-Jul-2019

Pernahkah anda mengalami rasa sakitnya hati, hancur dan berkecainya setiap impian, patahnya sebelah ‘sayap’ kehidupan, jatuh terduduk yang seperti tidak akan bangun lagi atau rasa dendam kesumat yang menebal dalam diri disebabkan pernah dikhianati?

Tidak kiralah sama ada sejarah hitam berkaitan kisah cinta, sahabat, kewangan, kerjaya, kehilangan ibu atau bapa, dan apa-apa sahaja berkaitan kehidupan, setiap orang mempunyai kisah sedih lampau masing-masing yang sukar untuk dilupakan sehingga ke hari ini.

Bagi yang bernasib baik, segala kisah hitam itu berjaya dilupakan dalam tempoh masa yang singkat, lantas digantikan dengan kebahagiaan yang lebih bermakna.

Namun, nasib manusia itu tidak sama. Kita mempunyai kisah yang berbeza, dugaan dan cabaran berbeza serta arah tuju yang berbeza.

Bagi yang sukar untuk melupakan dan melepaskan kisah silam yang sedih, penulis amat memahami apa yang anda rasakan.

Penulis sendiri pernah menyimpan satu rasa dendam dalam hati akibat tidak dihargai dan diperlakukan seperti patung yang tidak mempunyai perasaan, rasa seperti hati dipatah-patahkan dan dipijak-pijak, sehingga akhirnya menyeksa diri sendiri yang enggan membuka hati untuk rasa bahagia.

Namun, pernahkah kita terfikir; sampai bila kita harus menyeksa diri sendiri dengan membuat ‘prinsip’ yang sebenarnya hanya dijadikan alasan dan ‘perlindungan’ agar kita tidak dilukai lagi.

Penulis masih ingat, pada suatu hari ada seorang hamba Allah ini menyuruh penulis menonton sebuah drama pendek di YouTube yang berkisarkan tentang seorang wanita yang pada suatu ketika dahulu pernah disakiti dan dikhianati.

Wanita itu membuat prinsip serta membina ‘tembok’ yang tinggi setiap kali dia berkenalan dengan mana-mana lelaki yang menyukainya.

Disebabkan kisah silamnya itu, wanita tersebut menjadi seorang yang ego dan itu menyebabkan dia sukar untuk merasa bahagia, sehinggalah akhirnya dia menemui seorang lelaki yang benar-benar ikhlas menyintainya hingga berjaya meruntuhkan tembok keegoan tersebut.

Kisah yang sangat menyentuh hati tersebut membuatkan penulis berfikir panjang dan sedar bahawa kadangkala kita sendiri yang enggan melepaskan dan melupakan kisah sedih silam, sehingga membuatkan diri kita sukar untuk bahagia.

Selagi dendam kesumat itu masih bersarang dalam hati, selagi itulah hati kita sukar untuk berasa bahagia dan berlapang dada dengan kehidupan kita masa kini.

Lebih malang, kita akhirnya menyalahkan takdir. Menyalahkan ketentuan Allah S.W.T. yang telah diberikan kepada kita, sehinggakan kita sering berasakan seperti diri kita lebih malang berbanding orang lain.

Subhanallah! Manakan boleh Allah sekejam itu? Dia tidak pernah memberikan takdir yang malang kepada hamba-hambaNya.

Apa yang berlaku dalam kehidupan kita itu sebenarnya adalah ujian daripadaNya agar kita tahu erti bersyukur, erti tidak berputusa asa, erti menghargai, erti pengorbanan dan erti berserah dan percaya kepada kekuasaanNya.

Justeru, apa yang perlu kita lakukan untuk bangkit daripada kisah silam yang menghantui diri dan untuk kita melepaskan, melupakan serta memaafkan sesiapa sahaja yang pernah menghancurkan hati kita atau untuk kita bangun daripada kegagalan dulu?

1. Dekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Merupakan langkah yang paling mujarab. Pernahkan kita terfikir, kenapa hati kita berasa keras dan tidak bahagia? Mungkin kerana kita tidak mendekatkan diri dengan Allah dan tidak meminta secara bersungguh-sungguh daripadaNya. Allah itu Maha Mendengar dan Maha Pengasih. Apabila seorang hambaNya bersungguh-sungguh mendekatkan diri denganNya dan meminta daripadaNya, Dia mendengari doa kita dan pasti akan mengabulkan setiap yang terbaik untuk kita.

Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah, ayat 186 yang bermaksud: “Dan apabila para hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): ‘Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.’”

 

2. Menyesal biarlah berpada-pada

Tidak salah untuk kita rasa menyesal dengan perkara-perkara yang pernah berlaku dalam hidup kita. Namun, ia hendaklah berpada-pada dan rasa kesal itu perlulah secara sederhana. Jika bersedih, jangan meratap untuk suatu tempoh yang lama. Kita hendaklah bingkas bangkit dan meneruskan kehidupan seharian dengan semangat baru.

3. Sibukkan diri dengan pelbagai aktiviti

Ada orang yang gemar berdiam diri, mengasingkan diri daripada orang lain dan bersembunyi di suatu tempat secara berseorangan apabila ditimpa dugaan yang besar. Namun, sedarkah anda sebenarnya itu hanya akan membuatkan diri bertambah sedih. Ini kerana apabila kita bersendirian, kita akan cenderung untuk mengingati dan membayangkan setiap kegagalan tersebut, dan itu kemudiannya akan membuatkan kita menangis dan meratapi nasib.

Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan adalah sibukkan diri dengan pelbagai aktiviti yang tidak melalaikan seperti aktiviti riadah atau cuba hobi-hobi baharu, bersosial dengan orang di sekeliling, melancong dengan rakan-rakan atau bersenam. Kesemua ini dapat mengelakkan kita daripada berfikir mengenai perkara-perkara silam, selain dapat mewujudkan rasa gembira.

4. Bertekad untuk menjalani kehidupan yang lebih baik

Cuba set minda kita dengan perkara ini: Kita tidak dapat mengubah apa yang telah berlaku pada masa lampau. Jika ia berlaku disebabkan kesilapan kita atau disebabkan orang lain sekalipun, tiada apa yang boleh kita ubah lagi.

Namun, apa yang boleh lakukan adalah untuk bertekad supaya perkara itu tidak berulang lagi. Caranya? Sudah pasti dengan meleraikan dendam dalam hati, belajar untuk memaafkan dan melupakan kisah silam tersebut dan berusaha untuk menjadi individu yang lebih baik pada masa akan datang.

Kesimpulannya, setiap masa silam yang sedih itu berlaku disebabkan oleh adanya hikmah yang Allah S.W.T. telah sediakan kepada kita.

Ambil pengajaran daripada kisah tersebut, kembali kepadaNya dan tawakkal dalam setiap doa dan usaha yang telah kita lakukan.

Percayalah, jika kita benar-benar ikhlas mencari keredhaan Allah, pasti Dia akan memelihara hati kita dan secara perlahan-lahan rasa sakit, pedih, marah dan dendam itu akan terlerai dengan sendirinya.

Dengan itu, barulah pintu kebahagiaan itu akan terbuka luas kepada kita, dan pada saat itu barulah kita akan tersenyum apabila memikirkan yang suatu ketika dahulu kita pernah berdendam pada perkara yang enteng.

 

Foto: Ifrah Akhter (Unsplash), Abdulmeilk Majed, Andreas Wohlfahrt, Destiawan Nur Agustra, Nathan Cowley, Nina Uhlíková & Pixabay (Pexels)