Semangat patriotisme dan generasi muda

Budaya Hanita Hassan 16-Sep-2020
dreamstime_s_169015966
Semangat patriotisme dan generasi muda © Muhammad Syazwan Bin Md Yazid | Dreamstime.com

Malaysia telah pun menyambut Hari Kebangsaan yang ke-63 tahun pada 31 Ogos lepas.  Sekiranya seorang bayi dilahirkan pada tanggal yang sama tahun 1957, ia juga sudah seusia kemerdekaan negara ini.  Seorang manusia yang mencapai angka 63 tahun sudah tentu telah mencapai puncak kematangannya. Begitu juga dengan Malaysia tercinta.

Pada Hari Malaysia ini, sekiranya ditelusuri rentang masa 63 tahun kemerdekaan negara, banyak kejayaan membanggakan dicapai dalam semua bidang ekonomi, sosial, politik dan teknologi sekali gus mengharumkan nama negara.

Menjelang 2050, Malaysia bakal menjadi negara teratas di dunia dalam sektor ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi yang berasaskan penyatuan dan perpaduan.  Sekiranya ini dapat direalisasi, sudah tentu kemerdekaan ini akan terus didaulatkan.

Patriotisme adalah semangat yang ada dalam diri seseorang yang mementingkan negara berbanding kepentingan diri dan kelompoknya.  Sebagai contoh, sekiranya berlaku peperangan, anda berada di barisan hadapan dan sanggup menggadai nyawa dan gugur di medan pertempuran demi negara tercinta.

Semangat patriotisme generasi dahulu dan sekarang berbeza kerana ia bergantung kepada fokus dan cabaran negara pada ketika itu. Pada zaman penjajahan, fokus rakyat ialah memperjuang kemerdekaan. Selepas itu memupuk semangat nasionalis bagi mengisi kemerdekaan. Kemudian, zaman konfrontasi bagi mempertahan kedaulatan Malaysia yang baharu dibentuk, peristiwa 13 Mei bagi mengangkat perpaduan serta kegawatan ekonomi bagi mempertahan kedaulatan ekonomi.

Walau apa jua fokus dan cabaran negara, semangat patriotisme perlu dipupuk dalam diri generasi muda seawal usia agar mereka menghargai kemajuan yang telah dikecapi hari ini dan memastikan ia kekal menjadi milik negara. Usaha ke arah menyuburkan semangat patriotisme perlu kekal dilakukan tanpa meletakkan kesalahan itu kepada sesiapa pun.

Ia kerana apabila satu jari menuding kesilapan orang, empat jari lagi menuding ke arah diri sendiri. Aktiviti yang biasa dianjurkan sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang adalah usaha yang baik agar semangat patriotik rakyat bertambah utuh.

Perjuangan tokoh terdahulu perlu dikisahkan semula kepada orang muda supaya mereka mengenali jasa dan pengorbanan pemimpin terdahulu yang banyak berjasa membebaskan negara daripada belenggu penjajahan.  Kewujudan pelbagai interaktif baharu boleh digunakan untuk capaian kepada golongan muda dalam menyatakan sokongan kepada kedaulatan negara.

Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang semakin mendominasi generasi sekarang adalah medium yang strategik dalam mempromosi semangat patriotisme. Oleh kerana itu, banyak sayembara berkisar tentang patriotisme seperti cerpen, puisi dan rencana ditawarkan penyertaannya kepada generasi muda. Begitu juga dengan pertandingan mencipta video muzik, lagu dan filem pendek yang menerapkan eleman kebangsaan dan semangat patriotisme di media sosial.

Laman Instagram dan Facebook pula dijadikan ruang untuk generasi muda menzahirkan rasa cinta melalui muat naik foto patriotik bersama jalur gemilang atau mercu tanda unggul negara. Manakala laman Twitter digunakan untuk berkongsi ideologi ringkas tentang negara.

Semua ini boleh direalisasi sekiranya kita memberi ruang dan kebebasan kepada generasi muda untuk menyatakan perasaan mereka. Namun pembabitan generasi muda ini perlulah berlandaskan kepada prinsip Rukun Negara. Semoga Allah SWT merahmati pemimpin dan rakyat serta negara kita tercinta.