Semarak Program Kasih Ramadan Agrobank

Sahsiah Nor Syariza Tahir 27-Mei-2019
????????????????????????????????????

Antara amalan yang sangat dituntut pada bulan Ramadan adalah bersedekah, membantu sesama manusia dan memberi makanan berbuka kepada orang yang berpuasa.

Kesemua amalan ini bukan sahaja dapat memberikan ganjaran yang berlipat kali ganda kepada kita, malahan dapat membantu mengurangkan beban golongan yang kurang berkemampuan serta mengeratkan silaturahim sesama saudara seagama.

Sabda Rasulullah S.A.W. : “Sesiapa yang memberi iftor (hidangan untuk berbuka) orang-orang yang puasa/berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang puasa/berpuasa tanpa dikurangi sedikitpun.” (HR Bukhari dan Muslim).

Menyahut tuntutan itu, Agrobank baru-baru ini menganjurkan Program Kasih Ramadan untuk meraikan anak-anak asnaf dari Pertubuhan Baitul Ehsan Al-Khairi pada 16 Mei 2019.

Selain membeli persiapan hari raya, anak-anak tersebut turut diberi pendedahan mengenai pengurusan kewangan berhemah dan sejarah kewangan mata wang.

Program bermula dari pagi dengan sesi ‘Celik Wang’ dan lawatan ke Muzium dan Galeri Seni Bank Negara.

Pada sebelah petang, anak-anak asnaf itu dibawa ke pusat beli-belah Parkson di Nu Sentral, untuk membeli barang-barang kelengkapan raya bersama sukarelawan dari Agrobank.

Mengakhiri program dengan majlis berbuka puasa di Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur, anak-anak tersebut kemudiannya menerima sumbangan duit raya yang disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Syed Alwi Mohamed Sultan.

Program Kasih Ramadan merupakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tahunan Agrobank di bulan Ramadan bagi meraikan anak-anak asnaf dan membantu mereka membuat persiapan untuk berhari raya.

“Pada tahun ini, kami terapkan ilmu kewangan dan perbelanjaan berhemah dalam pengisian program agar anak-anak ini turut diberi ilmu asas menguruskan wang.

“Ini penting kerana kita membuat keputusan mengenai wang setiap hari apabila kita membeli dan membuat transaksi,” ujar Syed Alwi.

Program Kasih Ramadan telah dianjurkan selama tiga tahun semenjak tahun 2017 sebagai program CSR yang dianjurkan oleh Agrobank dalam bulan Ramadan.

Pada tahun ini, seramai 76 orang anak-anak asnaf dan 20 orang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Agrobank menyertai program tersebut.

“Kami berharap usaha kecil yang dijalankan ini dapat memberi kegembiraan dan keceriaan kepada anak-anak asnaf ini bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi,” tambah Syed Alwi.

Foto: Jabatan Komunikasi Strategik Agrobank