Semarakkan roh Ramadan di tempat kerja

Falsafah 30 Apr 2021 Tari Basir
Tari Basir
Semarakkan roh Ramadan di tempat kerja
Semarakkan roh Ramadan di tempat kerja © Zurijeta | Dreamstime.com

Berpuasa di tempat kerja bukanlah suatu perkara yang baharu lagi dalam kalangan penduduk dunia. Bahkan, kerja tetap diteruskan seperti biasa dalam bulan-bulan selainnya walaupun diri sedikit keletihan kerana berpuasa.

Bulan Ramadan merupakan antara bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam, antaranya disebabkan pahala yang berlipat kali ganda ganjarannya. Namun, disebabkan hampir seharian masa dihabiskan dengan bekerja, maka misi meraih ganjaran berlipat kali ganda ini sering sahaja menemui kegagalan disebabkan faktor letih dan kurang masa.

Maka, persoalan yang timbul ialah, adakah mustahil ‘roh’ Ramadan itu dijelmakan di tempat kerja? Adakah tempat kerja dipisahkan daripada unsur-unsur keagamaan sehingga ia menjadi tempat sekular, dan hanya sekadar tempat pembinaan semangat bekerja tanpa ‘roh’ Ramadan itu tadi?

Apa sebenarnya ‘roh’ Ramadan di tempat kerja?

‘Roh’ Ramadan boleh disemarakkan dalam pelbagai jenis cara. Salah satunya dengan kewujudan program dan aktiviti keagamaan yang dilakukan sekejap dalam waktu bekerja, atau dilakukan ketika waktu rehat makan tengah hari.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah tadarus Al-Quran sesama rakan sekerja. Lebih baik jika setiap hari ditetapkan berapa muka surat yang disasarkan. Bahkan, jika aktiviti tadarus ini berjaya dicapai sehingga khatam 30 juzuk penuh Al-Quran, maka ia antara kejayaan seluruh warga tempat kerja dalam melahirkan ‘roh’ Ramadan di tempat kerja.

Selain itu, aktiviti tazkirah setiap hari atau berkala juga antara wadah mewujudkan ‘roh’ Ramadan di tempat kerja. Sebenarnya, tazkirah ini tidak memerlukan seseorang yang berstatus ‘Ustaz’ atau orang agama. Cukuplah ia sekadar perkongsian sesama rakan sekerja, dan tajuk-tajuk berkaitan peringatan Ramadan bolehlah dipilih dan disampaikan dalam tempoh yang sekejap.

Pengamalan sifat mahmudah di tempat kerja juga hasil ‘roh’ Ramadan

Realitinya, sebahagian tempat kerja menjadi tempat lahirnya beberapa sifat mazmumah dan dosa seperti mengumpat, mengular, membuang masa, saling menjatuhkan, curang dan lain-lain lagi.

Dengan hadirnya bulan Ramadan, pengamalan sifat mahmudah mampu menyucikan tempat kerja daripada nodaan sifat mazmumah dalam bulan-bulan sebelumnya. Pengamalan sifat mahmudah seperti saling memuji, bermanis muka, saling membantu dan sebagainya, mampu melahirkan ‘roh’ Ramadan di tempat kerja. Sehingga mampu menyemarakkan rasa cinta sesama rakan sekerja, dan juga antara pekerja dan majikan.

Saling menegur dalam perbuatan ‘Amar ma’ruf nahi mungkar’ juga antara perkara yang mampu menyemarakkan ‘roh’ Ramadan di tempat kerja. Teguran yang baik dengan mengingatkan kesucian Ramadan agar tidak dicemari dengan dosa-dosa kering adalah salah satu daripadanya.

Peranan majikan dalam menyemarakkan ‘roh’ Ramadan

Hakikatnya, majikanlah yang mampu memainkan peranan yang lebih besar dalam menyemarakkan ‘roh’ Ramadan di tempat kerja. Sama ada menggalakkan perlaksanaan program dan aktiviti keagamaan dalam bulan Ramadan, atau mengingatkan para pekerjanya agar menjauhi sifat mazmumah.

Malah, seorang majikan Muslim yang baik terlebih dahulu akan bersifat dengan sifat mahmudah dalam bulan Ramadan ini, terutamanya kepada para pekerjanya. Kebaikan yang dilakukan oleh majikan ini akhirnya mampu menginspirasi para pekerja, dan akhirnya mampu sama-sama melahirkan ‘roh’ Ramadan di tempat kerja.

Tuntasnya, kewujudan ‘roh’ Ramadan di tempat kerja bukanlah suatu perkara yang mustahil. Malahan, dengan gadingan antara majikan dan para pekerja serta sesama rakan sekerja, mampu menyemarakkan ‘roh’ Ramadan di tempat kerja. Sehingga akhirnya memungkinkan ibadah di bulan Ramadan tetap boleh dilakukan, walaupun di tempat kerja.