Sembilan Bandar Diraja di Malaysia

Kehidupan Chan Abdullah 01-Jul-2020
Masjid Bandar Diraja Klang © Aisyaqilumar | Dreamstime.com

Bandar Diraja adalah merupakan tempat di mana bersemayamnya Raja-Raja Melayu di Malaysia. Sebelum penjajahan British, bandar diraja juga merupakan bandar pentadbiran negeri di mana ianya menempatkan istana rasmi para Raja-raja Melayu mengikut negeri.

Namun, setelah kedatangan British, mereka memperkenalkan konsep ibu negeri seperti yang digunakan di England. Sejak itu hampir setiap negeri yang mempunyai Raja, mempunyai bandar diraja dan ibu negeri.

Pihak British telah menjadikan ibu negeri sebagai pusat pentadbiran negeri walaupun ianya jauh dari kawasan istana rasmi raja-raja negeri. Ini kerana mereka mahukan kawasan yang sedang pesat membangun sebagai pusat pentadbiran utama mereka.

Terdapat sembilan Bandar Diraja Di Malaysia.

Arau merupakan bandar diraja untuk negeri Perlis. Bandar Arau menempatkan beberap institusi pengajian tinggi di Perlis seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia atau kini dikenali sebagai Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dan juga Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS).

Anak Bukit merupakan bandar diraja untuk negeri Kedah. Anak bukit merupakan salah satu bandar diraja yang berkongsi lokasi dengan ibu negeri. Anak Bukit terletak dalam kawasan Alor Setar yang merupakan ibu negeri Kedah.

Kuala Kangsar pula merupakan bandar diraja Perak. Kawasan bersejarah ini kini dibangunkan menjadi bandar pelancongan yang dipenuhi dengan hasil-hasil industri kecil sederhana penduduk setempat. Masjid Ubudiah yang terkenal juga terletak di Kuala Kangsar. Selain itu, Kuala Kangsar juga kini mempunyai institusi pendidikan tinggi, iaitu Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang terletak di Bukit Chandan.

Klang merupakan bandar diraja negeri Selangor. Sebelum Klang, Jugra juga pernah menjadi bandar diraja negeri Selangor. Selain itu sebelum Shah Alam, Klang juga turut menjadi ibu negeri Selangor di mana pusat pentadbiran Selangor berpusat di sini. Bandar Klang juga merupakan bandar diraja yang terbesar di Malaysia.

Pekan pula merupakan bandar diraja bagi negeri Pahang. Dikatakan, Pekan mendapat namanya daripada bunga Pekan. Bandar Pekan menempatlkan dua sekolah berasrama penuh yang agak terkenal iaitu, Sekolah Sains Sultan Ahmad Shah dan juga Maktab Rendah Sains Mara.

Muar merupakan bandar diraja bagi negeri Johor. Bandar Muar juga turut dikenali sebagai Bandar Maharani. Muar merupakan satu-satunya bandar di Malaysia yang mempunyai jaringan keretapinya yang tersendiri.

Seri Menanti merupakan bandar diraja Negeri Sembilan. Dipercayai asalnya bandar Seri Menanti diterokai oleh orang Minangkabau.

Kuala Terengganu pula merupakan bandar diraja negeri Terengganu. Seperti Anak Bukit, Kuala Terengganu juga merupakan bandar diraja yang turut berperanan sebagai ibu negeri Terengganu.

Kota Bharu adalah bandar diraja negeri Kelantan. Kota Bharu juga merupakan ibu negeri Kelantan yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri. Sebelum Kota Bharu, Kota Saba dijadikan sebagai pusat pentabiran negeri Kelantan. Namun akibat kerap dilanda banjir, Sultan Kelantan ketika itu memindahkan istana negeri dan ibu negeri ke Kota Bharu.

Itulah sembilan bandar diraja yang terdapat di Malaysia. Kebanyakan bandar diraja yang penuh sejarah ini mempunyai banyak tempat0tempat yang menarik untuk dilawati. Jika berpeluang bolehlah bawa keluarga untuk berkunjung ke semua bandar diraja di Malaysia.