Semoga Al-Quran dekat di hati

Budaya Abi Aasim 08-Mei-2020
Al-Quran mukjizat teragung © Fajri Hidayat | Dreamstime.com

Al-Quran yang dimuliakan merupakan mukjizat teragung yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’ ayat 136: “Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada kitab al-Qur’an yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya (Muhammad, SAW) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu sebelum daripada itu.”

Sebagai Muslim, pastinya kita membaca Al-Quran setiap hari. Paling tidak membaca surah Al-Fatihah setiap kali menunaikan solat fardhu. Namun  tanpa kita sedar, kadangkala kita tidak adil pada diri ketika membaca Al-Quran.

Membaca Al-Quran tetapi tidak tadabbur (merenungkannya) – Dalam kehidupan dan budaya masyarakat kita, anak-anak telah diajar membaca Al-Quran sejak kecil lagi. Namun ramai yang hanya sekadar membaca tanpa cuba memahami dan mendalami intipati Al-Quran. Ayuh, mulai hari ini kita cuba fahami isi kandungan Al-Quran dengan lebih baik sambil membacanya.

Bacaan bermusim dan ikut-ikutan – Bulan Ramadan tiba lagi. Alhamdulillah ramai umat Islam yang mengambil kesempatan untuk memperbanyakkan bacaan Al-Quran di bulan yang mulia ini. Walaupun sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), majlis tadarus tidak dapat dijalankan di masjid dan surau, tetapi ramai yang meneruskan di rumah.  Tetapi malangnya, kebiasaannya, majlis tadarus dan semangat membaca Al-Quran ini berakhir bersama berakhirnya Ramadan. Seharusnya semangat bertadarus Al-Quran diteruskan sepanjang tahun.

Membaca surah yang sama berulang kali – Tidaklah berdosa untuk membaca surah yang sama berulang kali tetapi Al-Quran itu indah dan luas petunjuknya. Amatlah rugi jika kita hanya bergantung kepada hanya satu surah atau surah-surah tertentu sahaja. Berlaku adillah juga kepada surah-surah lain yang terdapat di dalam Al-Quran. Insya-Allah, kita tidak akan terlepas panduan dan petunjuk di dalam surah-surah lain yang terdapat di dalam Al-Quran.

Mengamalkan niat yang salah – Tidak dinafikan setiap surah yang terkandung di dalam Al-Quran mempunyai fadhilat dan kelebihan yang tersendiri. Namun kita haruslah berhati-hati. Pastikan kita yakin bahawa kuasa Allah SWT mengatasi segala apa yang wujud di seluruh alam. Bukan apa, bimbang jika secara tidak sengaja kita beramal dengan niat dan fahaman yang kurang tepat.

Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita tanamkan azam untuk mendekatkan diri kita dengan Al-Quran. Semoga kita tidak menjauhkan diri dari kalam Allah SWT dan semoga kita istiqamah untuk beramal kepada Allah dengan penuh keikhlasan.