Senaman pagi sebagai gaya hidup

Sukan Zalina Majid 23-Jul-2020
Senaman pagi sebagai gaya hidup © Zairiazmal | Dreamstime.com

Senaman pagi adalah aktiviti penjagaan kesihatan untuk tubuh badan dan fikiran. Kita perlu sedar kehidupan sihat itu juga adalah satu amanah dalam hubungan manusia dengan Allah SWT.

Kita sering memandang remeh dengan senaman pagi. Sedangkan ia perkara yang diperlu diambil perhatian dan patut dilakukan. Lebih-lebih lagi ia melibatkan gaya hidup yang tidak sihat dan pemakanan yang tidak teratur.

Menjadi muslim yang kuat adalah suatu tuntutan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari). Ini selaras dengan tujuan Islam menyarankan umatnya sentiasa memelihara agama, akal, jiwa, harta dan keturunan.

Cuba kita ingat sewaktu di bangku sekolah dahulu. Kita berebut membuat senaman pagi atau dinamakan dengan pendidikan jasmani. Apabila meningkat dewasa kita mula mengatakan tiada masa. Dengan alasan kalut di pagi hari, bergegas ke tempat kerja atau sibuk uruskan keluarga.

Mari kita luangkan masa lima hingga sepuluh minit untuk melakukan senaman ringan setiap pagi. Jadikan ia suatu rutin yang sangat efektif. Terdapat lapan kelebihan melakukan senaman pagi agar menjadi gaya hidup terbaik.

Tubuh dan minda lebih segar

Bangun sebelum subuh seawal jam lima pagi. Mulakan hari kita dengan senaman pagi dan kita berasa lebih baik sepanjang hari tersebut. Malah kita boleh lakukan senaman selepas solat Subuh dan mandi pagi. Badan kita akan bertenaga, segar dan tetap cergas.

Bangkitkan semangat

Mula berfikir positif untuk hari kita. Gerakan senaman pagi yang dilakukan membantu untuk membangkit semangat kita berfikir dengan perkara yang sihat dan positif.

Persediaan sebelum kerja

Jika kita mampu bangun awal untuk ke bersiap ke tempat kerja, berusahalah memberi sedikit masa untuk melakukan senaman ringan. Ia mewujudkan mood yang baik sebelum kita memulakan tugas dan berkerja.

Bagus dalam memilih makanan

Secara praktikalnya kita akan mula membuat pemilihan makanan yang baik dan menyihatkan. Bukan ‘memilih-milih’ tetapi pastikan pilihan makanan kita tidak memudaratkan tubuh badan dan sesuai dengan kewangan kita.

Sentiasa sihat

Dengan melakukan senaman pagi, badan kita akan mampu membakar lebih banyak kalori sepanjang hari. Kita juga dapat menjaga berat badan dan kekal sihat.

Aliran darah

Impak kepada kesihatan kita juga berbeza dengan bersenam. Aktiviti ringan itu dapat mengawal tekanan darah dan menguatkan jantung.

Mudah bangun tidur

Bersenam boleh membangkitkan kita dari tidur dengan lebih mudah. Memaksa diri dan melawan bisikan syaitan adalah suatu kejayaan. Bangun pada waktu yang berlainan pada setiap hari akan mengelirukan badan, lemah dan tidak bersedia.

Hidup lebih berkualiti

Gaya hidup sihat membuatkan hidup kita lebih berkualiti dan berpeluang bergaul dengan orang ramai. Ceriakan diri sendiri dan menceriakan orang di sekeliling kita adalah sesuatu yang luar biasa.