Senaman ringkas Ramadan semasa musim PKP

Sukan Chan Abdullah 06-Mei-2020
Senaman ringkas di rumah © Odua | Dreamstime.com

Angka mereka yang dijangkiti virus COVID-19 turun dan naik setiap hari. Namun, apa yang dibimbangkan ialah bahaya virus ini kepada golongan berisiko tinggi. Rata-rata kes kematian yang berlaku angkara virus COVID-19 ini adalah bagi pesakit yang mempunyai sejarah penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua rakyat perlu duduk di rumah. Duduk di rumah mampu menjauhkan kita daripada virus COVID-19. Walau bagaimanapun, cara hidup yang kurang sihat seperti hanya duduk, berbaring dan makan berlebihan bakal mengundang bahaya. Malahan, anda akan terdedah kepada risiko penyakit yang lain seperti kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi.

Walaupun Ramadan kali ini kita semua dikehendaki duduk di rumah, anda harus kekal aktif. Pelbagai senaman mudah boleh dilakukan menjelang petang hari atau di waktu malam bagi mengekalkan kecergasan dan kesihatan anda sekeluarga. Antaranya ialah:

  • Tekan tubi – Senaman ini mampu memperbaiki postur badan anda. Ia juga dapat membantu mengurangkan risiko sakit belakang.
  • Lompat bintang – Senaman ini dapat membantu membakar lemak berlebihan dalam badan. Selain itu, senaman ini juga mampu membakar kalori dan menstabilkan pergerakan tubuh.
  • Lari/jalan setempat – Senaman ini sesuai walaupun dalam rumah yang tidak begitu luas. Senaman ini dapat mengekalkan kecergasan anda.
  • Naikkan kaki – Senaman ini bertujuan membina dan menguatkan otot pada bahagian kaki.
  • Lompat katak – Senaman ini bagus untuk memanaskan badan. Senaman ini juga adalah sejenis senaman kardio (kardiovaskular), iaitu aktiviti yang melibatkan jantung kita.
  • Lompat tali – Senaman ini pastinya seronok untuk dilakukan bersama anak-anak di rumah. Namun, pastikan keadaan sekeliling bebas daripada gangguan seperti kipas siling atau peralatan tajam bagi mengelakkan kemalangan.
  • Aerobik dan tarian – Senaman ini pastinya seronok dilakukan bersama-sama. Para isteri, bolehlah ajar suami dan anak-anak untuk melakukan senaman ringkas ini.
  • Regangan badan – Jika anda tiada masa, anda boleh sekadar melakukan senaman meregangkan badan. Duduk dan baring terlalu lama adalah tidak digalakkan. Jadi sambil bekerja dan berehat, sesekali regang-regangkan anggota badan anda dari kepala hingga ke kaki.

Selain itu, pastikan juga anda menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal anda. Patuhi arahan dan saranan daripada Kementerian Kesihatan. Jangan lupa untuk kerap mencuci tangan. Marilah kita amalkan gaya hidup yang sihat supaya kita kekal cergas dan bertenaga dalam menjalankan ibadah Ramadan.