Seni khat mengagungkan kebesaran-Nya

Seni Hanita Hassan 01-Jun-2020
Seni khat kalimah Syahadah © Wan Rosli Wan Othman | Dreamstime.com

Seni khat atau kaligrafi Islam adalah antara cabang kesenian yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Seni khat asalnya seni yang lama tetapi telah dipersembahkan secara kontemporari bersesuaian keadaan semasa dan memenuhi  kehendak peminat seni.

Seni khat adalah reka bentuk berupa geometrik. Ukuran tertentu menurut kadar tegak, tebal, nipis, panjang, pendek, miring, bulat, lonjong serta bentuk-bentuk anatomi hurufnya yang seimbang.  Kesemua itu merupakan ciri dan sifat tersendiri yang dimiliki oleh seni khat.

Selain dilakar di atas kanvas, ia turut terdapat dalam pelbagai bentuk seperti lukisan kaca, ukiran kayu dan batik.  Penyatuan seni khat ke dalam pelbagai seni dan budaya menjadikan ia sebagai lambang kesenian unggul dalam budaya dan tamadun Islam.  Ia juga setanding  kesenian lain di dunia.

Seni khat hadir dengan pelbagai gaya dan corak dalam membentuk rangkaian huruf dan kalimat.  Karya khat yang bermutu tinggi berupaya membawa peminatnya ke alam sedar bahawa kehidupan ini amat dekat dengan Allah SWT.

Biasanya pelukis khat seorang yang pandai menulis dan faham bahasa jawi.  Penulis khat yang terlatih akan menghasilkan mutu kerja yang berkualiti.  Antara tokoh khat  terkenal di Malaysia ialah Mohammed Yusof Abu Bakar.  Beliau adalah penerima anugerah perdana sambutan Maullidur Rasul 1438 Hijrah.

Diperkenalkan beberapa pakar penulis khat yang pernah mengharumkan nama Malaysia. Antaranya Abdul Baki Abu Bakar, pemenang pertama pertandingan seni khat antarabangsa di Arab Saudi (Souk Ukaz) pada Ogos 2016.  Beliau memperolehi wang tunai berjumlah Riyal Saudi 50,000.

Seorang lagi anak muda iaitu Mohd Fathy Rosely memenangi tempat kedua dalam pertandingan Khat di IRCICA Turki pada 2015.  Beliau menerima hadiah wang tunai USD4000.  Soerang lagi nama yang pernah memenangi pertandingan di peringkat antarabangsa ialah Nik Abd Rahman Zaki Nik Abdul Kadir di Brunei dan Turkey.

Banyak institusi dengan kepelbagaian pendekatan menawarkan latihan berkaitan seni khat. Pelbagai aktiviti seni khat juga turut dijalankan di semua peringkat dan pertandingan dianjurkan saban tahun sama ada oleh pihak kerajaan mahupun swasta.

Di samping tanggungjawab memelihara warisan Jawi dan kesenian Islam, Kementerian Pendidikan sendiri telah merangka silibus seni khat yang diterapkan di dalam mata pelajaran Pendidikan Islam di semua Sekolah Kebangsaan.

Hari ini, bidang seni khat semakin mendapat perhatian dan permintaan masyarakat.  Karya seni khat dalam pelbagai media dan saiz menerima sambutan yang memberangsangkan. Ia dijadikan hiasan dalaman dan luaran kediaman, bangunan pejabat dan masjid.

Hasil kraftangan yang berasaskan seni khat turut dipelbagaikan. Ada juga yang mengaplikasi secara komersil pada papan-papan tanda jalan dan pengiklanan yang menjadikan ia semakin popular.

Dalam usaha menyemarakkan seni ini, ia seharusnya lebih kerap dipamerkan supaya lebih ramai khalayak yang boleh menikmati keindahan seni Islam.  Keseniaan ini secara tidak langsung mampu mendekatkan kita dengan Allah SWT dan mengagungkan kebesaran-Nya.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!