Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Senyuman itu sedekah paling mudah!

Masyarakat 11 Feb 2021
Pilihan
Senyuman itu sedekah paling mudah!
Senyuman itu sedekah paling mudah! © Robert Khafizov | Dreamstime.com

Kajian sains mendapati sejumlah 16 otot muka akan digerakkan setiap kali kita tersenyum.  Manakala 43 otot digunakan apabila kita berasa muram.  Ia juga merangsang pengeluaran endorphins iaitu sejenis bahan kimia yang dihasilkan oleh otak untuk mengurangkan rasa sakit.

Dari sudut psikologi, senyuman mampu mengubah mood.  Teori ‘maklum balas wajah’ atau ‘facial feedback’ menegaskan bahawa pergerakan wajah secara langsung akan memberi maklumat persekitaran lengkap menentukan pengalaman emosi.

Senyum itu sedekah, terkait dengan hati

Ia bermaksud, maklum balas daripada ekspresi wajah anda boleh mempengaruhi emosi dan perlakuan sekali gus membuktikan bahawa mood kita boleh ditingkatkan melalui senyuman.

Hakikatnya senyuman bukan hanya berkait dengan otot tetapi hati.  Apabila hati kita penuh dengan masalah, tidak tenang dan celaru, sudah tentu sukar untuk mengukir senyuman setiap kali berjumpa orang.  Sebaliknya apabila hati tenang, ikhlas dan penuh kasih sayang, maka mudahlah untuk bibir kita tersenyum.

Cuba kita fikirkan, setiap pagi kita bangun untuk mengerjakan solat Subuh.  Adakah ia disebabkan oleh otot yang kuat atau badan yang besar.  Sebenarnya ia adalah kerana hati kita.  Hati akan menggerakkan otak kita agar bangun pagi dan menunaikan perintah Allah SWT.

Oleh kerana itu, kita dengan mudah tersenyum, bergurau senda di tempat kerja setiap hari apabila hati kita gembira.  Kita suka dengan kerja yang kita lakukan.  Sebaliknya wajah kita akan sentiasa muram disebabkan anda tidak gembira atau bahagia dengan apa yang anda lakukan sehingga tidak mampu untuk mengukir senyuman.

Menurut pakar motivasi, senyuman di waktu pagi akan menarik aura positif bukan sahaja kepada diri anda tetapi orang sekeliling.  Ia penting supaya hari anda berjalan lancar dan menarik perkara yang baik sepanjang hari.

Apabila anda bahagia, hidup anda juga bahagia.  Apabila anda bahagia, rakan sekerja turut ceria, balik kerja pasangan dan anak-anak juga gembira.  Layanan yang diberikan melambangkan hati anda yang gembira.

Senyuman adalah kebajikan paling mudah dilakukan

Tidak hairanlah sekiranya ramai yang berkata bahawa senyuman hanya boleh dipamerkan apabila anda berasa gembira.  Sebagai contoh, keputusan peperiksaan di tempat kerja cemerlang sehingga melayakkan anda untuk kenaikan jawatan.

Mungkin juga kerana jenaka kawan-kawan atau ketika mengambil foto atau untuk menutup perasaan malu.  Banyak sebab untuk menjadikan anda tersenyum. Rasulullah SAW memiliki keperibadian yang tidak kedekut dengan senyuman.

Baginda adalah seorang insan berpengaruh serta mempunyai keistimewaan luar biasa yang Allah SWT kurniakan. Sahabat bernama Jabir berkata: “Setiap kali aku bertemu dengan Nabi Muhammad SAW, aku sentiasa melihat senyuman pada bibirnya.”

Semasa hidup, Baginda kaya dengan senyuman. Senyuman adalah kebajikan dan kebaikan yang paling mudah untuk dilakukan. Ia menggambarkan kebersihan dan keperibadian insan yang memberi senyuman.  Senyuman boleh digunakan sebagai tanda keyakinan diri, persetujuan atau sebagai tanda kebahagiaan.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang maksudnya:

“Senyummu di depan saudaramu adalah sedekah.”

(Hadis riwayat Tirmidzi, 1956)

Justeru marilah kita bersama sebarkan senyuman.  Kita sebarkan seberapa banyak tenaga positif, di rumah, di tempat kerja atau di kejiranan.  Sentiasa melihat masalah sebagai peluang untuk memajukan diri.  Paling penting, kita syukuri apa yang kita ada dan belajar berdamai dengan takdir Allah SWT.