Sepuluh malam terakhir Ramadan – apa keistimewaannya?

Islam untuk Pemula 22 Apr 2021 Aimy Azhary
Terkini oleh Aimy Azhary
Sepuluh malam terakhir Ramadan - apa keistimewaannya?
Sepuluh malam terakhir Ramadan - apa keistimewaannya? © Muhammad Annurmal | Dreamstime.com

Sepuluh malam terakhir Ramadan merupakan detik yang sangat istimewa buat umat Islam kerana mempunyai lailatulqadar serta ganjaran yang besar buat sesiapa yang beribadah ketika itu. Ia bermula pada malam 21 Ramadan walaupun bulan tersebut mempunyai kurang 30 hari.

Rasulullah SAW akan melipatgandakan ibadah Baginda ketika itu lebih daripada waktu-waktu lain. Saidatina Aisyah r.a pernah meriwayatkan:

“Apabila memasuki sepuluh malam terakhir Ramadan, Baginda akan bangun malam, mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat ketat kain pakaiannya.”

Mengikat ketat pakaiannya merupakan sebuah perumpamaan menunjukkan kesediaan Baginda untuk bersungguh-sungguh dalam beribadah.

Keistimewaan sepuluh malam terakhir Ramadan

Keistimewaan utama pada sepuluh malam terakhir Ramadan ialah terdapat satu malam yang dipanggil lailatulqadar. Allah SWT menyifatkan malam itu sebagai Lailah Mubarakah (Malam yang Penuh Berkat).

Firman Allah SWT dalam surah Ad-Dukhan, ayat 3:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang penuh berkat.”

Dalam surah Lailatulqadar pula ada menyebutkan empat keistimewaan malam tersebut iaitu:

  1. Berlaku penurunan al-Quran
  2. Ganjaran beribadah lebih baik dari 1000 bulan
  3. Jibril a.s dan para malaikat turun membawa rahmat
  4. ‘Kesejahteraan’ yang berterusan sehingga terbit fajar

Kesejahteraan yang dimaksudkan adalah keselamatan daripada gangguan syaitan yang mendatangkan keburukan dan kejahatan serta diberikan kebaikan yang berlipat kali ganda. Sesiapa yang beribadah pada malam lailatulqadar dengan khusyuk pasti akan merasakan sebuah ketenangan dalaman yang tidak dapat digambarkan melalui lisan.

Inilah amalan terbaik di sepuluh malam terakhir Ramadan

Antara amalan terbaik yang boleh dilakukan untuk menghidupkan sepuluh malam terakhir Ramadan ialah:

Beriktikaf di masjid

Amalan ini thabit dari Rasulullah SAW dan hukumnya sunat muakad (sunat yang dituntut). Bahkan ia lebih dituntut pada malam-malam berkenaan.

Amalan ini memastikan kita berjumpa dengan malam lailatulqadar yang diidam-idamkan. Imam Nawawi berkata:

“Sesiapa yang ingin mengikut petunjuk Nabi Muhammad SAW dalam beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan, maka hendaklah dia masuk ke dalam masjid sebelum terbenamnya matahari pada malam 21 Ramadan dan dia keluar setelah terbenamnya matahari pada malam raya.”

Membaca al-Quran

Aktiviti membaca al-Quran merupakan amalan eksklusif serta paling disukai oleh Allah Taala pada bulan Ramadan. Sebaiknya kita membuat jadual untuk membaca al-Quran dan meletakkan sasaran khatam sekurang-kurangnya sekali.

Setiap huruf yang dibaca mendapat 10 kali ganda kebaikan, dan Allah SWT akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Sedekah

Tidak dinafikan bahawasanya terdapat sedekah yang diwajibkan pada akhir bulan Ramadan iaitu zakat fitrah. Namun, moleklah bagi kita untuk meluaskan saham akhirat dengan membanyakkan sedekah terutama di bulan Ramadan kerana manusia tidak tahu akan mana-mana amalannya yang diterima atau ditolak.

Bangun malam

Amalan ini juga merupakan amalan yang paling disukai oleh Allah Taala. Dengan kata lain, seseorang itu sanggup menahan tidurnya untuk berjumpa dengan Yang Tidak Pernah Tidur.

Peluang ini harus digunakan sebaiknya untuk memohon keampunan daripada Allah SWT, diberikan kebaikan dunia akhirat, pelepasan daripada neraka jahanam, dan paling utama, dipertemukan dengan lailatulqadar.

Menghubungkan silaturahim

Menghubungkan silaturahim merupakan budaya yang terpuji meskipun berada di luar bulan Ramadan. Namun, ia lebih digalakkan di bulan yang sangat mustajab ini kerana Allah SWT boleh menangguhkan permintaan dan doa hamba-hamba-Nya yang sedang bersengketa antara satu sama lain.