Sepuluh sumber sejarah Islam terbaik dan paling popular

Pendidikan 25 Apr 2021 Aimy Azhary
Terkini oleh Aimy Azhary
Sepuluh sumber sejarah Islam terbaik dan paling popular
Sepuluh sumber sejarah Islam terbaik dan paling popular (foto: Al-Bidayah wa An-Nihayah) © Zamzam Direct

Sejarah Islam merupakan ilmu yang penting  untuk membina jati diri muslim terutama dalam aspek menjiwai kegemilangan dan meneliti kesilapan umat terdahulu yang meruntuhkan tamadun Islam.

Oleh sebab itu, umat Islam juga perlu mengetahui sumber sejarah Islam yang terbaik dan menjadi rujukan utama kepada para pengkaji sejarah.

Sepuluh sumber sejarah Islam

Al-Bidayah wa An-Nihayah

Sumber ini merupakan sebuah ensiklopedia penting dan masyhur, serta merangkumi 21 jilid panjangnya. Ia membincangkan sejarah Islam bermula zaman penciptaan manusia, diikuti permulaan wahyu dan berakhir sekitar 800 tahun hijrah.

Penulisnya adalah Al-Imam Ibn Kathir yang juga merupakan seorang ulama tafsir dan pengarang kitab Tafsir Al-Quran Al-‘Azim.

Al-Kamil fi At-Tarikh

Kitab ini dikarang oleh Ibn Al-Athir Al-Jazari. Ia memfokuskan tentang peristiwa penting yang melibatkan raja-raja di dunia timur dan barat, bermula daripada awal hingga tahun 628 hijrah.

Metodologi penulisan yang digunakan ialah beliau meletakkan sejarah besar mengikut bab yang disusun secara tahunan, dan kemudian menghimpunkan peristiwa-peristiwa kecil di akhir bab tersebut.

At-Tobaqat Al-Kubra

Selain sejarah, kitab ini juga dianggap cukup berharga oleh para pengkaji kerana kandungannya turut mengumpulkan biografi tokoh-tokoh penting dalam sejarah Islam.

Penulisnya ialah Ibn Sa’ad Az-Zuhri. Beliau memulakan tulisannya dengan sirah nabawiyah, diiukuti dengan kisah hidup para sahabat, tabiin dan juga ulama-ulama terkenal.

Tarikh Al-Islam wa Wafayat Al-Masyahir wa Al-A’lam

Sumber ini merupakan sebuah ensiklopedia yang bukan sahaja mengandungi sejarah, bahkan biografi cendekiawan Islam.

Ini sedikit berbeza dengan sebuah lagi ensiklopedia biografi khusus “Siyar ‘Aalam An-Nubala“, yang ditulis oleh pengarang yang sama iaitu Al-Imam Syamsuddin Az-Azhabi.

Tarikh Al-Umam wa Al-Muluk

Kitab sejarah ini ditulis oleh Muhammad Ibn Jarir At-Tobari, mengandungi coretan sejarah bermula dari awal penciptaan sehingga 302 hijrah.

Kaedah pengumpulan maklumat sejarah dalam buku ini berdasarkan kisah-kisah yang diriwayatkan oleh masyarakat ketika itu, dan kebanyakannya diikuti dengan sanad atau salasilah periwayatan.

Mu’jam Al-Buldan

Penulis kepada kitab ini ialah seorang penyair dan ahli seni terkenal iaitu Yaqut ibn Abdullah Al-Hamawi. Ia dikarang sekitar tahun 1220 hingga 1224.

Sumber ini mengupas tentang sejarah, keadaan serta situasi politik beberapa buah negara ketika itu dengan menggunakan bahasa Arab yang tuntas. Kitab inj juga telah diterjemahkan kepada sejumlah bahasa asing untuk dijadikan rujukan.

Tarikh Al-Khulafa’

Nama pengarangnya ialah Al-Imam Jalaluddin As-Suyuti, seorang ulama terkenal dari bumi Mesir. Fokus penulisan beliau ialah coretan sejarah tentang khalifah, bermula zaman Khulafa Ar-Rasyidin sehingga Khilafah Abbasiyyah.

Penulis sangat teliti dalam menukilkan maklumat berkaitan biografi serta sumbangan seseorang khalifah, kesan pemerintahan, tokoh-tokoh terkenal ketika itu, bahkan lokasi makam mereka. Oleh itu, tidak syak lagi kitab ini layak berada dalam carta sepuluh sumber sejarah terbaik.

Wafayat Al-A’yan wa Anba’ Abna’ Az-Zaman

Sumber ini ditulis oleh Ibn Khallikan, juga dianggap penting kerana menghimpunkan biografi lebih 850 tokoh seperti ilmuan, menteri, pembesar dan khalifah.

Menariknya, pengarang mencoret maklumat-maklunat sejarah yang tuntas pada zaman dinasti SaffariyyahSaljuk, Ubaidiyyah dan wangsa Ayyubiah.

Al-Badar At-Toli’ bi Mahasin min ba’d Al-Qarn As-Sabi’

Fokus kepada kitab ini ialah sejarah dan riwayat hidup para cendekiawan Islam bermula sekitar tahun 8-1250 hijrah. Antara keunikan kitab ini adalah penukilan biografi tokoh-tokoh yang dianggap sebagai mujtahid dan ahli ilmu secara menyeluruh.

Al-Muntazam fi Tarikh Al-Muluk wa Al-Umam

Sumber yang mengandungi 18 juzuk ini ditulis oleh Abu Al-Faraj Ibn Al-Jauzi. Ia mengandungi lebih 3370 coretan biografi dan riwayat hidup tokoh-tokoh terkenal bermula fasa pemerintah khilafah sehingga tahun 574 hijrah.