Sepuluh tafsir Al-Quran termasyhur sepanjang zaman

Al-Quran Aimi Azhary
Terkini oleh Aimy Azhary
Sepuluh tafsir Al-Quran termasyhur sepanjang zaman
Sepuluh tafsir Al-Quran termasyhur sepanjang zaman © Petr Kahanek | Dreamstime.com

Tafsir merupakan ilmu penting untuk memahami Al-Quran yang mengandungi mukjizat dari sudut bahasa, sejarah, bukti saintifik dan lain-lain lagi.

Secara asasnya, tafsir terbahagi kepada dua iaitu Tafsir Bi Al-Ma’thur (tafsir menggunakan al-Quran, hadis dan kalam sahabat r.a) dan Tafsir Bi Ar-Ra’yi (tafsir menggunakan logik akal namun tepat dengan landasan dan ajaran syariat).

Berikut merupakan sepuluh tafsir al-Quran termasyhur serta diperakui para ulama muktabar.

Sepuluh tafsir Al-Quran termasyhur sepanjang zaman 

1. Tafsir At-Tabari (الطبري)

Nama pengarangnya ialah Al-Imam Muhammad bin Jarir At-Tabari, wafat pada tahun 301 Hijrah. Tafsir ini digelar sebagai “Jami’ Al-Bayan fi Tafsir Al-Quran” yang bermaksud “Penerangan yang Mapan dalam Menafsirkan Al-Quran”.

Menariknya, ulama ini juga merupakan pengarang kitab sejarah Islam teragung iaitu “Tarikh Al-Umam wa Al-Muluk“, sebuah ensiklopedia ilmiah yang menjadi rujukan dalam pelbagai bidang.

2. Tafsir Ibn Abi Hatim (ابن أبي حاتم)

Penulisnya ialah Abdurrahman bin Abi Hatim dan tafsir beliau termasuk dalam kategori tafsir bi al-ma’thur. Keistimewaan tafsir ini ialah pengarang menafsirkan perkataan-perkataan susah di dalam al-Quran menggunakan ayat al-Quran sendiri di samping hadis Nabi SAW, kata-kata sahabat dan para tabiin r.a.

3. Tafsir Al-Fakhr Ar-Razi (الفخر الرازي)

Nama lain bagi tafsir ini ialah Mafatih Al-Ghayb dan ia termasuk dalam jenis tafsir bi ar-ra’yi. Nama sebenar pengarang ialah Al-Imam Fakhruddin Abu Abdullah Muhammad bin Umar Ar-Razi.

4. Tafsir Az-Zamakhsyari (الزمخشري)

Tafsir ini dikenali juga sebagai Tafsir Al-Kasysyaf dan merupakan antara tafsir yang termasyhur. Pengarangnya bernama Abu Umar Az-Zamakhsyari Al-Mu’tazili, dan tafsir ini subur dengan perbahasan elemen bahasa dan kesusateraan di dalam al-Quran.

Sebagai peringatan, tafsir ini mengandungi unsur fahaman muktazilah di dalamnya. Oleh itu, pembaca perlu berhati-hati ketika membacanya dan belajar dengan tenaga pakar supaya tidak terpengaruh dengan fahaman-fahaman yang bertentangan.

5. Tafsir Al-Qurtubi (القرطبي)

Tafsir ini juga sangat masyhur kerana sarat dengan hukum-hakam fiqah Islam. Penulisnya adalah Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakar, lahir dari bumi Cordoba, Andalusia (Sepanyol).

Keistimewaan tafsir ini ialah digabungkan penjelasan hukum-hakam fiqah berdasarkan pendapat imam-imam mazhab ke dalam sesuatu perbahasan ayat, kemudian ditarjihkan pendapat yang tepat menurut pengarang berdasarkan hujah-hujah tertentu.

6. Tafsir Al-Baghawi (البغوي)

Tafsir Al-Baghawi dikategorikan sebagai tafsir bi al-ma’thur, kerana ia bersandarkan kepada hadis Nabi SAW, kata-kata para sahabat r.a dan para tabiin. Nama penulisnya ialah Abu Muhammad Husain Al-Baghawi.

7. Tafsir Ibn Kathir (ابن كثير)

Tafsir ini dikarang oleh Al-Imam Abu Al-Fida’ Ibn Kathir, dan dinamakan juga sebagai Tafsir Al-Quran Al-‘Azim. Penulis menggabungkan pendapat-pendapat ulama tafsir yang lain dan ia menjadi ensiklopedia penting dalam mendalami metodologi ilmu tafsir.

8. Tafsir Al-Jalalain (الجلالين)

Secara literal, Al-Jalalain bermaksud “Dua Jalal” kerana tafsir ini merupakan kompilasi tulisan dua orang ulama yang mempunyai nama yang sama, iaitu Al-Imam Jalaluddin Al-Mahalli dan Al-Imam Jalaluddin As-Suyuti. Ia dianggap sebagai tafsir yang ringkas namun padat dengan input-input penting dalam memahami sesuatu ayat.

9. Tafsir Al-Alusi (الألوسي)

Tafsir Al-Alusi juga dikenali sebagai Tafsir Ruh Al-Ma’ani, dan dianggap sebagai tafsir bi al-ma’thur. Pengarangnya bernama Abu As-Tsana’ Syihabuddin Mahmud Al-Alusi.

10. Tafsir At-Tahrir wa At-Tanwir (التحرير والتنوير)

Pengarang bagi tafsir ini ialah Muhammad At-Tohir bin ‘Asyur. Tafsir beliau juga dianggap sebagai tafsir yang popular kerana ia tetap dikenali walaupun telah ditulis lebih 100 tahun dahulu.