Serangan tentera Abrahah ke atas Kaabah

Kepercayaan Abi Aasim 22-Jun-2020
Formasi Batu Gajah di al-Ula, Arab Saudi © Gustavo Munoz | Dreamstime.com

Tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW juga dikenali sebagai Tahun Gajah. Ini kerana sewaktu tahun kelahiran Baginda, kota Mekah telah diserang oleh Raja Abrahah dan angkatan tenteranya yang ingin memusnahkan Kaabah.

Raja Abrahah telah membina sebuah gereja yang indah di Sanaa, Yaman. Gereja ini telah digelar sebagai Al Qulais. Gereja ini merupakan satu binaan yang indah dan besar pada zaman itu. Tujuan Raja Abrahah membina gereja ini adalah untuk menjadikan ianya sebagai simbol ibadah di Sanaa. Selain itu, Raja Abrahah mahu menarik penziarah dan juga pedagang datang ke kota Sanaa.

Raja Abrahah mahu menjadikan Sanaa sebagai pusat perdagangan di Arab bagi menggantikan Kota Mekah. Namun usahanya tidak membuahkan hasil. Pembinaan gerejanya yang indah juga gagal menarik perhatian penduduk Arab dan para pedagang untuk ke kota Sanaa. Sebaliknya mereka terus mengunjungi kota Mekah dan menjadikan Kaabah sebagai mercu tanda ibadah mereka.

Perkara ini semakin membuatkan Raja Abrahah menjadi semakin iri hati terhadap kemayshuran Kaabah dan kota Mekah. Akhirnya Raja Abrahah tekad untuk menyerang kota Mekah dan memusnahkan Kaabah bagi memenuhi keiinginannya.

Raja Abrahah telah mengumpulkan bala tenteranya dengan kelengkapan perang yang hebat. Kelengkapan perang ini pula telah dimuatkan ke atas gajah-gajah yang didatangkan dari benua Afrika. Setelah sedia, berangkatlah angkatan perang bergajah Raja Abrahah ke kota Mekah.

Dalam perjalanan ke kota Mekah, apa saja yang ada di depan laluan tenteranya dimusnahkan. Rumah, khemah dan tanaman dirosakkan dan dimusnahkan dengan kejam. Namun apabila tiba di kota Mekah, gajah-gajah yang ditunggang oleh Abrahah dan angkatan tenteranya terus berhenti dan tidak mahu bergerak.

Berang dengan tindakan gajah-gajahnya, Abrahah akhirnya memerintahkan tenteranya berjalan kaki menuju ke Kaabah. Sewaktu perjalanan menuju ke Kaabah, Allah telah menghantarkan sekawan burung Ababil dengan batu-batu panas. Burung-burung Ababil ini melontarkan batu-batu panas ini ke arah tentera-tentera Abrahah.

Firman Allah dalam surah Al-Fil, ayat 3-5: “Dan ia telah menghantarkan kepada mereka burung Ababil. Burung-burung itu membawa tiga batu yang panas dan merah yang diletakkan di paruh dan pada dua kakinya. Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras. Lalu ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.”

Melihatkan perkara itu, Abrahah cuba melarikan diri. Namun lemparan batu-batu panas itu telah mengenainya. Tenteranya cuba menyelamatkannya dan membawanya pulang ke kota Sanaa. Namun Raja Abrahah tidak dapat diselamatkan dan akhirnya mati dalam keadaan yang busuk dan bernanh dengan jari jemarinya gugur dan reput satu persatu.

Bukan sahaja usahanya menghancurkan Kaabah digagalkan, malah Abrahah juga telah mati dalam penuh kehinaan.