Serba Dinamik Holdings Bhd jalin usaha sama bantu perusahaan baru

Uncategorized MAS 30-Dis-2019
Teknologi hologram
© Awargula | Dreamstime.com

Serba Dinamik menganggarkan jalinan usaha sama dengan Startup Borneo dapat dimulakan pada Februari depan. Hab pemula niaga, Startup Borneo memiliki 33 entiti berdaftar yang terdiri daripada inkubator, pemecut dan pemula niaga. Program berkenaan akan diterajui oleh Serba Dinamik IT Solutions Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Serba Dinamik.

Usaha sama berkenaan bertujuan mengubah minda usahawan muda untuk memulakan perniagaan dan menyumbang kepada pembangunan negara. Pengarah Urusan Serba Dinamik menerangkan program berkenaan mampu membantu usahawan untuk mengkomersilkan idea perniagaan dan mengembangkan syarikat pemula niaga. Usaha yang serupa telah terbukti di Silicon Valley, dengan penubuhan syarikat pemula seperti Dell, Google, dan Facebook menurut Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah.

Serba Dinamik sebagai peneraju akan menyediakan program latihan, pendanaan awal dan keperluan lain. Inkubator, pemecut atau syarikat pemula niaga berkenaan akan mendapat manfaat melalui pendedahan kepada rantaian global. Panduan yang diberikan penting untuk syarikat pemula niaga berkembang ke peringkat seterusnya.

Menurut Mohd Abdul Karim, usaha sama tersebut juga akan memberi manfaat kepada agensi-agensi kerajaan. Ini disebabkan perkara berkenaan akan menjadi antara inisiatif untuk membantu syarikat-syarikat teknologi tempatan yang semakin berkembang. Selain itu, usaha sama di peringkat antarabangsa diramalkan dapat memperluas rangkaian mereka di pasaran Malaysia.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Abdul Karim menerangkan Serba Dinamik telah merintis teknologi hologram. Syarikat berkenaan bermatlamat untuk menjadi pelopor dalam penyediaan teknologi terbabit. Teknologi hologram merupakan teknologi yang mewujudkan elemen serupa dan serentak di lokasi berbeza.

Menurut beliau, teknologi terbabit berfungsi untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti. Sebagai contoh, seorang pakar boleh melatih para pelajar di lokasi berbeza di serata dunia pada masa yang sama. Seorang pemimpin juga dapat bertemu dengan lebih ramai penyokong menggunakan cara yang sama.