Serentak dalam mencari reda dan dunia

© Mohd Hafiez Mohd Razali | Dreamstime.com

Adab budaya dan tamadun adalah landasan kepada sesebuah masyarakat. Tinggi rendahnya sifat atau ciri manusia dalam sesebuah masyarakat akan menentukan sama ada penghuninya telah mempunyai tamadun atau adab (civilised). Oleh itu, hidup secara bertamadun adalah satu perkara yang baik.

Tamadun dan peradaban manusia dibangunkan melalui daya upaya dan usaha kerja masyarakatnya. Amalan dan kebudayaan masyarakatlah yang mempengaruhi pembangunan sesebuah tamadun dan peradaban mereka. Jadi, amal budaya yang bagaimana  sepatutnya mempengaruhi pembangunan tamadun dan peradaban dunia sekarang?

Di zaman moden ini, kita tidak lepas daripada dipengaruhi dengan kecenderungan kepada mencari dan mencintai perkara-perkara kehidupan duniawi. Akibatnya, kita menjadi lupa daratan berkaitan dengan agama kerana hilang pertimbangan atau melampaui batas ajaran Islam.

Kita lalai dalam memahami matlamat dan tujuan terakhir manusia, iaitu kecemerlangan dalam kehidupan akhirat atau alam baka menurut fahaman Islam. Tetapi ini sudah tentu hanya berkaitan dengan golongan yang mempercayai kewujudan Tuhan.

Untuk mengelakkan alpa akhirat, sebagai Muslim, kita biasa dengan petunjuk yang menyarankan agar kita menerapkan konsep Zuhud, sebuah idea yang terpuji dalam Islam. Namun, ia bukan senang untuk difahami dan dicapai.

Zuhud bukan bermakna kita tidak boleh memiliki kebendaan, tetapi kebendaan tersebut tidak harus menguasai kita. Orang yang ‘zahid’ tidak disuruh untuk bertapa, menyendiri atau berusaha menjadi miskin. Ia berkaitan dengan nafsu melepaskan kesenangan duniawi agar dapat mendekatkan diri dengan Sang Pencipta. Tetapi adakah ini sahaja hidayah Allah SWT?

Dalam pendekatan yang lebih besar, Islam hadir untuk memperbaiki kehidupan dan pengalaman manusia di dunia. Juga untuk meningkatkan keupayaan dan ketokohan seorang manusia dan masyarakatnya. Perkara yang paling senang difahami kebenarannya ialah kita perlu berada di titik tengah antara mencari dunia dan memilih akhirat. Persoalannya, apakah usaha yang perlu dibuat dalam titik kedudukan ini?

Rujukannya adalah hubungan dengan Tuhan, manusia dan dunia kita sendiri. Kesemua ini adalah mustahak dan memerlukan kefahaman serta pembaikan dalam diri sendiri. Benar jangkauan hubungan-hubungan tersebut amat luas, namun kesemuanya saling terkait antara satu sama lain, dan kita dianjurkan supaya melakukan yang terbaik, setakat yang termampu.

Ibadah melalui penyerahan diri yang sebenar kepada (hubungan dengan) Tuhan memerlukan penyucian jiwa. Bertuahlah seseorang yang suci jiwanya, dunia dan akhirat. Bagaimanapun, sebagai makhluk ciptaan Tuhan, sifat-sifat tercela kita tidak mungkin dapat disingkirkan kesemuanya, tetapi boleh dikurangkan.

Oleh itu, kita perlu memperbanyakkan sifat-sifat yang terpuji dan mendapat reda-Nya. Sifat-sifat ini meliputi pencarian ilmu pengetahuan, pembaikan diri dan memohon taubat. Penyucian paksi akidah atau iman untuk pemurnian jiwa juga diperlukan. Ini termasuk komitmen kepada Al-Quran dan Sunnah, dan menguatkan kepercayaan melalui enam Rukun Iman.

Sifat bersyukur pula adalah sangat istimewa dan penuh rahmat. Ia mencerminkan minda yang positif, bersemangat dan proaktif. Ia akan menidakkan kita dari tunduk kepada pelbagai tenaga negatif. Pakar-pakar falsafah dan psikologi juga telah bersusah payah menyelidik dan mempromosikan teori bersyukur yang dianggap ‘baru’ ini.

Terima kasih kepada mereka, kerana ini mengiyakan saranan khusus Al-Quran dalam surah Ibrahim (14), ayat 7 yang menegaskan: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”

Dan kita boleh kembali kepada rasa naluri semulajadi manusia yang sebenarnya mahukan persekitaran yang beradab dan bertamadun. Bagi yang memahami, adab jugalah yang sememangnya berkedudukan penting dalam Islam. Hubungan sesama insan dan alam sekitar atau masyarakat sememangnya bersangkut paut.

Berbuat baik kepada orang lain atau melakukan amalan-amalan hidup yang berguna, adalah sebahagian daripada adab dan nilai-nilai murni Islam. Perbuatan-perbuatan bermanfaat atau kebajikan juga elok disebar luas dan sepatutnya ditularkan dalam zaman moden kini.

Islam juga mengajar tentang sistem moral dan kemasyarakatan. Perkara-perkara berkenaan tata susila dan budi bahasa secara kolektifnya dinyatakan dalam Al-Quran yang berupa istilah-istilah seperti rahmat, kesaksamaan, persaudaraan, keadilan, belas kasihan dan  perpaduan.

Unsur kesabaran dan pengampunan harus didasarkan pada pengetahuan, kesedaran, dan kebenaran. Untuk mencipta masyarakat yang bersatu dan  hidup secara harmoni, kita perlu memupuk rasa hormat dan saling menghormati, walaupun berbeza agama, budaya atau kedudukan sosial.

Kesamarataan seluruh umat manusia juga ditekankan berulang kali kerana konsep itu mengaitkan hubungan langsung antara setiap manusia dan Penciptanya, tanpa perantara. Asas nilai kesamaan Islam ini sangat berakar dalam falsafah Islam, dan begitulah seharusnya hubungan yang ideal antara sesama manusia.

Oleh itu, sentiasalah bermula dengan niat untuk melakukan perbuatan baik kepada orang lain dan persekitaran kita. Kesemua ini seolah-olah sudah kita ketahui, tetapi jika kita ikhlas, cintakan ketenangan dan mahu melihat dunia menjadi tempat yang lebih sempurna untuk semua, marilah kita periksa hati sendiri sebelum memulakan sesuatu.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!