Seribu satu khasiat buah Delima

Makanan Hanita Hassan 10-Ogo-2020
Delima segar di pasar © Yulia Zhemchugova | Dreamstime.com

Kajian yang dilakukan oleh para pengkaji tempatan mahupun Barat mendapati buah Delima atau nama saintifiknya Punica Granatum mempunyai seribu satu khasiat.  Dalam amalan perubatan kuno (ancient healing benefits), delima berada pada senarai teratas disebabkan manfaat kegunaannya yang pelbagai.

Delima memiliki empat bahagian yang boleh digunakan iaitu buah, kulit, akar dan jus (air perahannya). Kaya dengan sodium, ia mengandungi unsur nutrien seperti riboflavin, tiamin, niasin, vitamin C, kalsium dan fosforus. Jenis delima yang  baik memiliki warna paling terang, berkulit nipis dan banyak kandungan air.

Buah Delima merupakan salah satu buah yang terdapat di Syurga. Allah SWT mengurniakan buah delima untuk dinikmati dan dijadikan penawar.  Namanya disebut tiga kali dalam al-Quran.  Dalam surah al-An’am, ayat 99 dan 141 dan surah al-Rahman, ayat 68.  Al-Quran menerangkan bahawa buah delima mengandungi khasiat dan manfaat tersendiri.

Berasal dari Iran, ia juga terdapat di India, Afghanistan dan Syria. Buahnya bulat hampir sebesar limau, kulitnya keras dan kemerahan.  Isinya berbiji-biji seperti Kristal. Daun Delima mempunyai permukaan yang berkilat dan berbentuk oblong berukuran antara tiga hingga tujuh sentimeter (sm) panjang dan 1.3 sm lebar.

Bunga delima berwarna merah terang, ada yang mempunyai bunga oren terang terutama bagi spesis Delima katik atau kerdil (dwarf pomegranate) atau nama saintifiknya punica granatum nana. Dalam kepercayaan sesetengah masyarakat di dunia, delima adalah lambang kesuburan dan panjang usia.

Masyarakat di Timur Tengah menganggap Delima sebagai simbol kesuburan dalam perkahwinan mereka.  Orang Cina menyajikan buah delima sewaktu perkahwinan kerana ia lambang kesuburan, kemakmuran dan keturunan besar.

Dunia perubatan membuktikan bahawa buah Delima mampu dijadikan penawar kepada penyakit diabetis. Kajian ke atas bunga pokok delima mendapati bunganya boleh digunakan sebagai makanan tambahan dalam merawat penyakit kronik disebabkan oleh kegagalan metabolisma glukosa.

Delima juga boleh menurunkan paras kolesterol darah, mencegah dan mengubati barah, merencatkan barah para-paru dan prostat, mencegah dan melambatkan penyakit Alzheimer.

Bagi anda yang inginkan kulit wajah yang segar dan muda, makanlah Delima secara kerap.  Kandungan gula dalam delima akan bertindak sebagai penggosok menyingkirkan sel kulit mati.  Masalah jerawat juga boleh dihilangkan dengan menggunakan kulit delima kering yang telah dikisar halus.  Serbuk kulit delima ini perlu dicampur dengan perahan limau nipis.

Kandungan asid folik yang tinggi baik untuk wanita hamil. Ia mencegah kecacatan tiub saraf yang menyebabkan kerosakan pada sumsum tulang belakang dan lelangit bibir sumbing bayi.  Ia juga boleh menghilangkan kejang kaki.

Terdapat banyak atsar hadis yang memperkatakan tentang buah Delima yang dinisbahkan kepada Rasulullah SAW atau kepada keluarga Baginda.  Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Buah delima adalah penghulu buah-buahan.  Sesiapa yang makan buah delima, maka syaitan menjadi marah selama 40 hari kerana jika syaitan makan buah delima, maka dia tidak diikuti oleh seseorang.”

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: “Makanlah Delima dengan kulitnya kerana sesungguhnya buah delima baik untuk penghadaman perut.”  (Hadis Riwayat Ahmad, Baihaqi dan Ibnu Sunni)

Justeru, marilah kita hebahkan kebaikan buah syurga ini kepada orang sekeliling. Semoga kita mendapat manfaat daripada keistimewaan buah Delima.